Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan memakaikan Darjah Kebesaran Peringkat Pertama SSAP kepada Pengerusi Lembaga KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, di Istana Abu Bakar, hari ini. FOTO Bernama
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan memakaikan Darjah Kebesaran Peringkat Pertama SSAP kepada Pengerusi Lembaga KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, di Istana Abu Bakar, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Jamuan Tengah Hari Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Pahang bersempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-61 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar di Pekan, hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Dewan Mulia Istana pada 12.20 tengah hari diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Pada majlis itu, Seri Paduka turut berkenan menjamah pulut kuning yang dibawa masuk ke dewan dengan diketuai Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah dan menerima persembahan cendera kenangan daripada kerajaan negeri yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Majlis santapan itu berlangsung sejurus tamat Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Pahang yang disempurnakan oleh Tengku Hassanal yang didahului dengan persembahan perutusan taat setia oleh Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah mewakili kerabat dan orang besar Pahang.

Wan Rosdy seterusnya mempersembahkan ucapan sembah taat setia bagi mewakili pemimpin dan rakyat negeri Pahang.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran disempurnakan oleh Tengku Hassanal membabitkan 56 penerima termasuk lapan anakanda Seri Paduka dengan didahului Tengku Muhammad yang menerima darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama dua kekanda baginda, Tengku Amir Nasser dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan.

Sementara itu, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah; Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera; Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana; Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah masing-masing dikurniakan darjah kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera.

Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga menerima darjah kebesaran SSAP bersama 15 individu iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hasnah Mohammed Hashim; Pengarah Urusan Amara Investment Management Sdn Bhd Datuk Johan Tazrin Hamid Ngo; Pengarah Urusan Kumpulan Bharat Datuk Vinod Kumar Agarwal; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Muez Abd Aziz dan Pengerusi Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Penerima SSAP lain ialah Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Abdul Latif Abdul Kadir; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil; Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan.

Turut menerima SSAP ialah Pengarah Urusan Kumpulan Ri-Yaz Datuk Mohammed Shaheen Shah Mohd Sidek; Ketua Eksekutif Kumpulan Marmaz Group Holding Datuk Marajoh Unding; Pengerusi Eksekutif JRK Holdings Berhad Datuk Kwan Aik Khai; Pengarah Urusan Jadeline Exchange Sdn Bhd Jajakhan Kader Gani dan Pengarah Urusan Bergamo Design (M) Sdn Bhd K. Vijayendren.

Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah kebesaran SIMP kepada tiga lagi penerima iaitu suami Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Abu Bakar Ahmad Tengku Arif Bendahara Tengku Abdullah; Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Shahnaz Murad.

Darjah kebesaran Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk pula dikurniakan kepada lapan penerima antaranya Pengarah Gading Sari Plantation Sdn Bhd Tengku Rizal Razak Tengku Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda; Lt Kol Tengku Mohd Najirulzamal Tengku Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Pasir Pahang Berhad Lt Kol (B) Nor Hashim Abdul Aziz.

Penerima DSAP lain ialah Pakar Perunding Kardiologi Hospital Gleneagles Dr Nik Halmey Nik Zainal Abidin; Pengerusi Eksekutif Persada Prospek Sdn Bhd Abdul Murshidin Peer Bux dan pengamal undang-undang Wang Ming Way.

Seramai 16 individu menerima darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk termasuk tiga juruiring Yang di-Pertuan Agong iaitu daripada Tentera Darat Brig Jen Zahari Mohd Ariffin; Brig Jen Mohamed Zahari Yahya (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan SAC Yahaya Othman (PDRM).

Turut menerima DIMP ialah Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Nor Hisham Mohammad; Timbalan Mufti Pahang Abdul Zaki Md Zain; Asisten Ketua Staf Operasi dan Strategi Markas Tentera Laut Laksamana Muda Roslan Mohd Yunus; Ketua Penolong Pengarah D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Rusdi Mohd Isa; juruiring Perdana Menteri SAC Yusni Mohd Jamil dan Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Suhana Abd Malek.

Penerima DIMP lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanah Makmur Berhad Shahrul Nizam Abdul Aziz; Pengerusi Eksekutif Borneo Natural Stone Sdn Bhd Mohd Ishak Ayub; Setiausaha kepada KDYMM Al-Sultan Abdullah, Rosina Othman; Pengarah Urusan Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd Shamsul Kamar Samsudin; Timbalan Pengerusi MIC Pahang K.Muniamdy; Pengarah SB Logistics Sdn Bhd, Mok Chuang Kiang dan pesara guru, Ahmad Wahid.

Selain itu, Sultan Pahang juga berkenan mengurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada dua penerima dan Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada tiga individu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 6:22 PM