TENGKU Abdullah  pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri.
TENGKU Abdullah pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Pekan: Istana Pahang akan menyaring terlebih dahulu semua nama yang dicadangkan untuk menerima darjah dan pingat kebesaran Pahang bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar ‘bersih’ saja yang akan menerima pengiktirafan berkenaan.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, kesemua nama itu perlu menjalani saringan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan ia akan menjadi prosedur operasi standard baru penganugerahan yang perlu dipatuhi sebelum baginda berkenan nama individu terbabit selaku penerima.

Titahnya, baginda juga akan memperkenalkan kod etika yang mana setiap penerima perlu mematuhinya.

“Saya juga akan membuat kod etika yang perlu dipatuhi oleh mereka (penerima darjah dan pingat) dan tak perlu untuk saya sentiasa mengingatkan penerima supaya menjaga kelakuan mereka.

“Malah, kajian juga akan dilakukan supaya penganugerahan ini akan gugur secara automatik jika mereka didapati bersalah melanggar undang-undang,” titahnya selepas menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, semalam.

Baginda juga mengingatkan semua penerima darjah dan pingat Pahang untuk menjaga kelakuan dan kemuliaan pengiktirafan itu.

“Anggap ini (darjah dan pingat) sebagai satu pengiktirafan kepada mereka kerana sudah berjasa dan memberi sokongan di Pahang. Institusi Diraja Pahang mahu mendampingi rakyat dan menghargai apa jua sumbangan yang telah diberikan.

“Kita bukan kedekut. Jika kita kedekut, kita tidak beri pengiktirafan, kita simpan sahaja semua darjah dan pingat kebesaran,” titahnya.

Tengku Abdullah bertitah, baginda juga berlapang dada jika ada mana-mana penerima berhasrat memulangkan pengiktirafan yang diterima jika merasakan darjah dan pingat itu terlalu berat untuk dijaga.

Namun, titahnya, setakat ini tiada seorang pun penerima yang memulangkan pingat dan darjah kebesaran yang dikurniakan.

“Saya juga tidak suka untuk tarik (pengiktirafan yang diberi) tetapi jika terpaksa, saya akan buat, jangan cuba tunjuk kuasa,” titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 6:17 AM