TENGKU Abdullah berkenan mengurniakan darjah kebesaran SSAP kepada Jailani.
TENGKU Abdullah berkenan mengurniakan darjah kebesaran SSAP kepada Jailani.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Pekan: Seramai 100 individu menerima darjah kebesaran pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, di sini, semalam.

Mendahului senarai nama penerima ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) dan membawa gelaran Datuk Seri.

Istiadat pengurniaan darjah berkenaan disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Antara 27 penerima pingat SSAP lain ialah Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Abdul Rahman Md Yunos, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Ramlan Ibrahim, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Maria Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim serta Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohamad Mentek.

Individu lain ialah Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar, Ketua Polis Pahang Datuk Rosli Ab Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam negeri Datuk Sabin Samitah dan pelakon Datuk Eizlan Yusof atau nama sebenarnya Idris Md Yusof.

Pengarah Eksekutif THSB Services Sdn Bhd Datuk Mohd Azwan Abdul Malik menjadi penerima tunggal Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera.

Seramai 13 individu menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk antaranya Pengarah Besar FELDA Ab Ghani Mohd Ali, Panglima Wilayah Udara 1 TUDM Mejar Jeneral Datuk Mohd Faudzi Ahmad, Inspektor Jeneral Tentera Udara Markas Tentera Udara Datuk Johar Razali Ahmad, Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Bersama J3 Markas Angkatan Bersama TUDM Mejar Jeneral Datuk Mihd Asghar Khan Goriman Khan, Ketua Cawangan Khas Pahang Deputi Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Timbalan Ketua Polis Kedah Deputi Komisioner Sahabudin Abd Manan.

Antara nama lain ialah Pengerusi Khas Cukai Pendapatan Malaysia Mohd Radzi Harun, Pengarah Eksekutif KLCC Sdn Bhd Ir Hashimah Hashim, pereka fesyen yang juga Ketua Pengarah Eksekutif Jovian Mandagie Sdn Bhd Jovian Mandagie serta Ketua Pengarah The Flava Lab Sdn Bhd Mohd Marhaban Mohamed Nor.

Seramai 59 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk termasuk Ahli Jemaah Tertinggi BAKAT Udara Datin Dayang Halimah Awang Drahman, Ketua Pengarah Maktab Koperasi Malaysia Prof Madya Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik serta Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Pahang Ir Azman Ab Majid.

Penerima lain ialah Komander Pangkalan Udara Kuantan Brigedier Jeneral Noor Mohamad Akmar Mohd Dom, Ketua Penolong Pengarah Narkotik (STING) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman Datin Asmawati Ahmad, Pengarah Kastam Cawangan Siasatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Rumainor Sarif dan pelakon yang juga Penaung Pertubuhan Johor 1 Care Society Mohamed Hadi Putera Halim atau nama komersialnya, Adi Putra.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 9:20 AM