AZLAN (kiri) memberi ubat kepada Muhammad Amirul  (dua dari kiri) yang menghidap tiroid dan ketumbuhan dalam kepala di Jalan Bunga Tanjung, Jasin.
AZLAN (kiri) memberi ubat kepada Muhammad Amirul (dua dari kiri) yang menghidap tiroid dan ketumbuhan dalam kepala di Jalan Bunga Tanjung, Jasin.
Nur Saliawati Salberi


JASIN: “Sudah takdir hidup kami perjalanannya begini.

“Walaupun terpaksa tebalkan muka meminjam wang daripada kenalan, saya perlu lakukannya bagi memastikan perut isteri dan anak beralas,” kata pengawal keselamatan, Azlan Md Tan, 47.

Dengan pendapatan yang tidak menentu, Azlan terpaksa menanggung isterinya yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan mengalami fibroid (ketumbuhan), Norafizah Ariffin, 41, serta membesarkan tiga anak masing-masing berusia tujuh hingga 15 tahun.

Azlan berkata, dia bukan sahaja diuji apabila anak keduanya berusia 12 tahun dilahirkan dengan mempunyai sebelah buah pinggang, kini nasib hidupnya diuji lagi apabila anak sulungnya, Muhammad Amirul menghidap ketumbuhan dalam kepala dan kelenjar tiroid terlalu aktif (hipertiroid).

Katanya, walaupun perit untuk melaluinya namun dia reda dengan ketentuan hidup dan cuba sedaya upaya menyediakan segala keperluan serta membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika anak sulung menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Julai lalu dia perlu berada di sana selama sebulan, saya terpaksa berkongsi makanan dengannya kerana kehabisan wang.

“Selain memikirkan keadaan diri sendiri, fikiran ini melayang mengenangkan nasib isteri serta dua lagi anak di rumah. Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bunga Tanjung, Kemendor, di sini.

Akibat terlalu kerap mengambil cuti kerana terpaksa membawa anaknya yang sakit ke hospital, Azlan hampir kehilangan pekerjaan namun atas pertimbangan majikannya masalah itu dapat diselesaikan.

Bagi menampung keluarga, Norafizah juga terpaksa keluar bekerja walaupun tahap kesihatannya semakin merosot.

Setakat ini, keluarga itu menerima bantuan bulanan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) negeri namun ia masih tidak mencukupi.

Azlan berkata, dia perlu mengeluarkan perbelanjaan tinggi setiap kali membawa isteri dan anaknya mendapatkan rawatan susulan.

“Ada harinya anak ke sekolah tanpa membawa wang belanja, tetapi mujur mereka menerima peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 6:59 AM