Nor Faizah (kanan) ditemani anaknya yang mengalami buah pinggang bocor sedang menyediakan ketupat untuk jualan COD di Kampung Bukit Dinding. FOTO  ROSELAN AB MALEK
Nor Faizah (kanan) ditemani anaknya yang mengalami buah pinggang bocor sedang menyediakan ketupat untuk jualan COD di Kampung Bukit Dinding. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Dugaan besar dialami suri rumah, Nor Faizah Mohamad Hamizam apabila suami dan anaknya mengalami penyakit serius, selain dia sendiri menghidap penyakit hipertiroid.

Nor Faizah, 29, yang tinggal di Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Kampung Bukit Dinding, dekat sini, diuji apabila apabila anak bongsunya, Nur Airis Maisarah Mohd Zulkarnaen yang berusia dua tahun mengalami masalah buah pinggang bocor.

Berikutan itu, dia terpaksa bertindak sebagai ketua keluarga mencari rezeki dengan menjual ketupat bagi menampung perbelanjaan keluarga selepas suaminya, Mohd Zulkarnaen Idham Zaabar, 36, mengalami penyakit kencing manis dan tidak mampu berdiri lama akibat lemah saraf sejak tiga tahun lalu.

Nor Faizah berkata, Nur Airis Maisarah dikesan mengalami masalah buah pinggang bocor oleh doktor Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh ketika berusia setahun enam bulan.

"Anak saya pada mulanya mengalami masalah kencing tidak lawas selain bengkak anggota badan, mata serta kaki sebelum doktor HoSHAS mengesahkan dia mengalami buah pinggang bocor.

"Anak sepatut menjalani pembedahan di Hospital Selayang, Selangor pada awal tahun ini, tetapi tertangguh ke satu tarikh akan ditentukan hospital tersebut.

"Sejak tahun lalu sudah tiga kali saya membawanya ke Hospital Selayang untuk membuat pemeriksaan susulan sebelum menjalani pembedahan," katanya.

Nor Faizah yang mempunyai empat anak berusia antara dua tahun hingga 13 tahun berkata, suaminya pernah bekerja di sebuah syarikat iklan di bandar Jerantut, tetapi terpaksa berhenti kerana menderita penyakit kencing manis selain gangguan saraf dan tidak mampu berdiri lama.

Menurutnya, dia bekerja di sebuah kantin sekolah, tetapi terpaksa berhenti kerana menumpukan tugas menjaga anak dan suami sehingga kini.

"Untuk menyediakan keperluan dapur, persekolahan tiga anak dan bayaran bil mencecah lebih RM1,500 sebulan menyebabkan saya membuat ketupat dan menjualnya di kawasan Bukit Dinding dan bandar Jerantut.

"Perniagaan ketupat kurang laris sejak pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP, selain itu saya tidak mampu menghantar pesanan pelanggan di kawasan jauh menyebabkan pendapatan berkurangan.

"Kami anak beranak cuma menumpang di rumah emak saya, Nor Azam Yunus dan tidak tahu nasib pada masa akan datang. Apapun, saya dan suami reda dan bersabar dengan ujian Allah," katanya.

Nor Faizah berkata, penyakit hipertiroid dialaminya empat bulan lalu menyebabkan gangguan sesak nafas dan mudah keletihan, namun lambat laun perlu menjalani pembedahan untuk mengelak semakin teruk.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan utama adalah rawatan serta pembedahan Nur Airis Maisarah terlebih dahulu supaya dia sembuh dan dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Nur Faizah di talian 013 6958230 atau menyumbang menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0610541100001386.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 5:01 PM