Mariam melihat keadaan Mohammad Afiq  yang kini terlantar dan bergantung kepada mesin sokongan hayat untuk meneruskan hidup di Hospital Melaka.
Mariam melihat keadaan Mohammad Afiq yang kini terlantar dan bergantung kepada mesin sokongan hayat untuk meneruskan hidup di Hospital Melaka.
Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: “Ibu mana mahu melihat anak yang dulunya periang dan aktif kini terlantar dan bergantung kepada mesin untuk meneruskan hidup,” itu luahan seorang wanita, Mariam Majid, 50, ibu kepada Mohammad Afiq Othman, 22, yang kini terlantar di Hospital Melaka selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari, Khamis minggu lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam, mangsa yang membonceng motosikal bersama rakannya, Muhammad Azlan Mohd Khairi, 21, dipercayai dilanggar lari sebuah kereta di Kesang Damai, Jasin.

Difahamkan, ketika kejadian, dua sahabat baik itu dalam perjalanan keluar minum, namun sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta dipercayai merempuh motosikal dinaiki mangsa sebelum terus menghilangkan diri.

Menurut Mariam, anak keempat daripada lima beradik itu patah tulang belakang, buah pinggang rosak, dua daripada tulang rusuknya patah mengakibatkan paru-parunya berlubang serta mengalami kecederaan dalaman lain.

Katanya, selepas lebih lapan hari terlantar di hospital, anaknya kini terpaksa bergantung kepada mesin, bantuan oksigen selain doktor turut memberikan ubat tidur bagi mengelakkan dia kesakitan.

“Saya dan suami kini buntu memikirkan nasib Afiq dan kalau boleh kami mahu dia cepat sembuh. Jika dia mahu dipindahkan ke hospital swasta, kos rawatannya dianggarkan antara RM25,000 hingga RM30,000 dan kini kami berusaha mendapatkan wang sebanyak itu.

“Dengan pendapatan suami sebagai penoreh dan saya pula hanya guru tadika, agak sukar untuk kami memperoleh wang sebanyak itu dalam tempoh singkat,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, semalam.

Menurutnya, dia juga dimaklumkan pemandu kereta yang melanggar anaknya juga masih belum tampil membuat laporan polis.

Sementara itu, ibu kepada Muhammad Azlan, Siti Aishah Aman, 47, berkata, akibat kemalangan itu, anaknya patah tangan dan kaki kanan.

“Anak saya kini stabil dan sudah menjalani pembedahan tetapi apabila mengenangkan keadaan Afiq, saya sebak dan berharap orang ramai dapat membantu keluarga Afiq selain mendoakannya cepat sembuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:48 AM