TIGA kanak-kanak maut manakala dua cedera apabila kenderaan empat pacuan roda dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik di Kampung Bangkau-Bangkau, Pitas, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
TIGA kanak-kanak maut manakala dua cedera apabila kenderaan empat pacuan roda dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik di Kampung Bangkau-Bangkau, Pitas, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Recqueal Raimi


TIGA kanak-kanak maut manakala empat cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan terbalik di tepi jalan di Kampung Bangkau-Bangkau, Pitas, hari ini.

Tiga mangsa yang maut dalam kejadian 9.50 pagi itu ialah kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun serta dua perempuan masing-masing berusia 10 tahun yang tersepit dalam kenderaan terbabit, namun identiti mereka masih belum dikenal pasti.

Difahamkan, ketika kejadian tiga mangsa bersama dua lagi kanak-kanak, semuanya mempunyai hubungan saudara dalam perjalanan untuk berkelah di kawasan pantai berhampiran dengan pasangan suami isteri yang juga ibu serta bapa saudara mereka.

Pasangan suami isteri terbabit masing-masing berusia 25 dan 22 tahun, manakala dua lagi mangsa yang cedera juga adalah anak saudara mereka yang kini dirawat di Hospital Pitas dengan keadaan stabil.

Menceritakan kejadian itu, isteri pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit, berkata dia dan suami duduk di bahagian hadapan manakala lima anak saudara berada di bahagian terbuka di belakang kenderaan sebelum bertolak dari Kampung Pantai Kanibongan.

“Pada awalnya, sempena cuti sekolah kami sudah berjanji untuk menunaikan permintaan anak saudara untuk berkelah di Pantai Terenggu.

“Mereka teruja untuk berkelah, namun tidak menyangka kemalangan berlaku sebaik tiba di Kampung Bangkau-Bangkau,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku sangat pantas di jalan tidak berturap dan sebaik keluar daripada kenderaan, dia mendapati tiga anak saudaranya itu tersepit dan tidak sedarkan diri.

Katanya, mereka segera menghubungi semua agensi berkaitan dan hanya mampu melihat ketika pasukan bomba mengeluarkan tiga anak saudara yang tersepit.

“Kami berasa sangat bersalah, malah permintaan mereka untuk berkelah tidak dapat ditunaikan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, ketika dihubungi berkata, kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di bahagian kanan jalan.

Beliau berkata, tiga kanak-kanak yang meninggal itu ditemui tersepit di bawah kenderaan dan dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 2:40 PM