Junaidi Ladjana


KERIANGAN satu keluarga berkelah sempena hujung minggu di Pantai Terungguk, Kampung Bangkau-Bangkau, Pitas, Sabah, menjadi tragedi apabila seorang anggota keluarga lemas di pantai berkenaan, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, Nursiti Mazuana Misan yang berusia sembilan tahun, ditemui orang awam sebelum dihantar ke hospital namun disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, mangsa datang ke pantai berkenaan berkelah bersama keluarganya dan dihanyut ombak ketika sedang mandi di tepi pantai.

Pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Johny Yap berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.50 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Mangsa ditemui oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 3.30 petang.

"Mangsa kemudian dibawa ke hospital menggunakan kenderaan awam dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 7:20 PM