IBU BAPA  menunjukkan barangan kenangan arwah anak mereka yang maut dalam kejadian letupan dan kebakaran premis perniagaan tahun lalu.
IBU BAPA menunjukkan barangan kenangan arwah anak mereka yang maut dalam kejadian letupan dan kebakaran premis perniagaan tahun lalu.
Muhammad Apendy Issahak


RIUH tawa lima sekawan yang sebelum ini sering memeriahkan suasana di RPT Kampung Sri Aman ketika Aidilfitri ternyata dirasai dan dirindui terutama ahli keluarga.

Lima rakan sekampung itu menjadi mangsa korban dalam tragedi letupan dan kebakaran premis perniagaan pengaturcara majlis di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju pada 1.54 tengah hari 11 Disember tahun lalu yang turut mengorbankan majikan mereka.

Allahyarham Muhamad Nur Aiman Abdul Rahman, Mohamad Ekmal Izzudin Mohd Kamari, Muhammad Nur Ikram Mohd Husni dan Ahmad Faizal Aminuddin yang masing-masing berusia 16 tahun serta Mohamad Azhar Shah Rosli, 19, ketika kejadian, bekerja sambilan di premis itu.

Peristiwa tragis itu pasti meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga terutama ibu bapa mangsa dengan sambutan Syawal tahun ini tidak semeriah sebelum ini.

Ibu Mohamad Ekmal, Halijah Abdul Karim, 43, mengakui setiap hari dia terbayang muka setiap seorang daripada mereka kerana sudah menganggap mereka seperti anak sendiri.

“Terasa sunyi kampung ini, mereka berlima sering berkumpul di depan rumah saya, main takraw. Semua benda mereka buat bersama.

“Setiap hari saya teringat anak dan kawan-kawannya, Tuhan saja yang tahu betapa rindunya hati ini,” katanya di rumahnya di RPT Kampung Sri Aman.

 HALIJAH  melepaskan rindu dengan memeluk pakaian Allahyarham anaknya, Mohamad Ekmal.
HALIJAH melepaskan rindu dengan memeluk pakaian Allahyarham anaknya, Mohamad Ekmal.

Turut mengunjungi rumahnya, ibu bapa tiga mangsa iaitu Abdul Rahman Bahak, 46, bersama isteri Junaida Ibrahim, 40 (Muhamad Nur Aiman), Aminuddin Tan, 51, dan isteri, Ropishah Muhammad, 49 (Ahmad Faizal) serta Mohd Husni Kasman, 49, dan isterinya, Nor Aziah Ropangi, 44 (Muhammad Nur Ikram).

Halijah berkata, sejak kehilangan anak kedua daripada tiga beradik itu, dia hanya memendam rasa menahan rindu dan hanya baju arwah yang menjadi tempatnya melepas kerinduan.

“Seluar dan baju arwah saya letak di bantal saya sejak kehilangannya kerana itu saja yang dapat saya lepaskan rindu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 7:02 AM