GEORGE Clooney. FOTO AFP
GEORGE Clooney. FOTO AFP
Agensi

Los Angeles: Biarpun berehat daripada muncul di layar perak, bintang Hollywood terkenal, George Clooney masih mengumpul kekayaan apabila dinamakan majalah Forbes sebagai pelakon lelaki paling kaya 2018.

Senarai dikeluarkan Rabu lalu turut menyenaraikan pelakon terkenal seperti Dwayne Johnson, Robert Downey Jr, Chris Hemsworth dan Jackie Chan mengungguli kedudukan lima teratas senarai berkenaan.

South China Morning Post melaporkan, Clooney yang berusia 57 tahun memperoleh pendapatan pracukai AS$239 juta (RM982 juta) hasil aktiviti perniagaan, sokongan produk serta pendapatan daripada filem lama.

Pendapatan tambahan yang diperoleh amat berguna ketika Clooney dan isterinya, Amal Alamuddin Clooney membesarkan anak kembar mereka, Ella dan Alexander.

Selain itu, Clooney turut menjual syarikat miliknya, Casamigos Tequila kepada syarikat minuman gergasi British, Diageo dengan bayaran pendahuluan sebanyak AS$700 juta (RM2.87 bilion) pada Jun lalu.

Forbes melaporkan, pelakon itu juga bakal memperoleh AS$300 juta (RM1.2 bilion) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menerusi penjualan itu, Clooney yang juga mengasaskan syarikat itu bersama Rande Gerber dan Mike Meldman pada 2013, memperoleh AS$233 juta (RM957 juta).

Sementara itu, Johnson (The Rock), 46, yang berada di tangga kedua senarai pula memperoleh pendapatan pracukai AS$124 juta (RM509 juta).

Ia diikuti bintang Iron Man Downey Jr, 53, yang memperoleh pendapatan AS$81 juta (RM332 juta) menerusi filem Iron Man in Spider-Man: Homecoming dan Avengers: Infinity War.

Hemsworth, 36, berada di kedudukan keempat dengan pendapatan AS$64.5 juta (RM265 juta) menerusi watak Thor dalam filem Marvel termasuk Thor: Ragnarok dan Avengers: Infinity War.

Pelakon Asia yang menerima bayaran paling tinggi pula Jackie Chan di tempat kelima apabila memperoleh AS$45.5 juta (RM186 juta) selepas muncul dalam enam filem pada 2017 termasuk The Lego Ninjago Movie selain sokongan produk serta hasil daripada rangkaian pawagamnya di China.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 10:51 AM