LAPORAN portal berita Harian Metro pada 30 Jun lalu mengenai peraih getah menjadikan budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya.
LAPORAN portal berita Harian Metro pada 30 Jun lalu mengenai peraih getah menjadikan budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


“SAYA sudah serahkan dokumen perkahwinan kepada Pejabat Agama Jajahan Gua Musang dan menunggu untuk didaftarkan di negara ini.

“Pejabat agama akan berurusan dengan Majlis Agama Islam Narathiwat sebelum perkahwinan saya dengan isteri ketiga yang juga warga negara Thailand dapat didaftar secara sah,” kata peraih getah berusia 41 tahun yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun hingga tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp, sebelum ini.

Beliau yang juga imam surau di Gua Musang berkata, dia mahu urusan perkahwinan dengan isteri ketiga itu selesai dan tiada lagi isu timbul selepas ini.

Katanya, isteri pertama dan kedua dapat menerima perkahwinan ketiganya apabila hubungannya dengan ketiga-tiga isteri dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, semua isteri dapat menerima perkahwinan kami kerana saya berlaku adil kepada mereka termasuk menyediakan rumah dan kereta setiap seorang.

“Biasa la.... pada awal perkahwinan mesti ada sebelah pihak (isteri kedua) yang akan marah, namun kini kemarahannya sudah reda dan dia dapat menerima perkahwinan saya dengan isteri ketiga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebagai suami dia memainkan peranan penting termasuk akan berlaku adil terhadap tiga isteri dan enam anak.

NSTP sebelum ini melaporkan peraih getah berusia 41 tahun menjadi tular di FB dan Whatsapp selepas berkahwin dengan budak perempuan berusia 11 tahun.

Perkahwinan di negara jiran itu mendapat perhatian ramai kerana tidak mendapat keizinan isteri pertama dan kedua serta tidak meminta kebenaran Mahkamah Syariah.

Akibatnya lelaki berkenaan didenda Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang sebanyak RM1,800 baru-baru ini kerana berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Berita berkaitan

'Pengantin cilik tak didakwa'

'Thailand siasat kes kahwin budak 11 tahun'

''Maduku budak 11 tahun'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 3:22 PM