Ruhainies tidak cemburu Safawi muat naik foto bersama seorang wanita di laman sosial. FOTO MAHZIR MAT ISA/IG
Ruhainies tidak cemburu Safawi muat naik foto bersama seorang wanita di laman sosial. FOTO MAHZIR MAT ISA/IG
Sudirman Mohd Tahir


"SAYA hanya berkawan dengan dia (Safawi), jadi buat apa saya nak cemburu. Kami memang tidak ada apa-apa hubungan serius pun," kata Ruhainies.

Itu reaksi diberikan pelakon itu mengenai gambar dimuat naik pemain bola sepak kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid, 21, bersama seorang wanita di media sosial.

Ruhainies, 26 atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, sebagai kawan dia sentiasa menyokong apa sahaja dilakukan jejaka itu termasuk dalam soal pasangan.

"Cemburu? Tidak pernah ada dan takkan pernah ada. Mengenai gambar dimuat naik itu, saya tidak tahu pun sebab berada di pulau dan jaringan internet kurang memuaskan.

"Saya gembira jika dia sudah ada pasangan. Sebagai kawan, saya sentiasa sokong apa saja dilakukan sama ada dalam kerjaya atau kehidupan peribadi. Selama ini pun, kami bukanlah rapat sangat.

"Mahu berkawan dengan sesiapa pun tidak salah asalkan tahu batas," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai jambangan bunga pernah diberikan Safawi, Ruhainies menganggap ia tanda persahabatan.

"Saya berasakan, dia bukan berkawan dengan saya seorang saja. Mesti ramai lagi. Cuma, disebabkan saya selebriti jadi perkara itu menjadi perhatian.

"Pemberian bunga itu pula, bagi saya ia tanda persahabatan. Tidak salah pun. Lagi pula sekarang saya sedang berkawan dengan seseorang. Jadi, saya nak kena jaga hati dia juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 1:37 PM