RUHAINIES memotong reben pada majlis perasmian My Beaute Village di IOI Mall Puchong. FOTO Mustaffa Kamal
RUHAINIES memotong reben pada majlis perasmian My Beaute Village di IOI Mall Puchong. FOTO Mustaffa Kamal
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular Ruhainies menghabiskan hampir RM2,000 sebulan untuk penjagaan badan dari hujung rambut ke hujung kaki.

Ruhainies, 27, atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, dia tidak menggunakan produk mahal untuk penjagaan kulit wajah.

“Saya tak pakai produk mahal pun untuk menjaga kulit. Pemikiran kebanyakan orang pakai produk mahal baru kulit cantik.

“Alhamdulillah, kulit saya tak perlukan produk mahal untuk kekal sihat dan tak bermasalah. Produk saya gunakan pun biasa-biasa saja.

”Saya peruntukan kurang RM2,000 sebulan untuk keseluruhan penjagaan badan,” katanya kepada Harian Metro.

Ruhainies yang ditemui pada pelancaran cawangan kelima sebuah butik kecantikan di pusat beli-belah di Puchong berkata, dia juga tidak mempunyai tip tertentu dalam penjagaan kecantikan dan kekal langsing.

“Setiap minggu saya luangkan masa sekali pergi urut dan spa. Selain itu saya berenang untuk kesihatan dalaman. Saya memang tak pergi gimnasium.

“Untuk kekal langsing saya tidak ada tip. Saya beruntung sebab metabolisma tinggi. Jadi, kalau makan nasi jam 2 ke 3 pagi pun, saya okay. Saya tak kawal sangat.

“Orang kata apabila sampai satu tahap umur tahap metabolisma makin turun dan badan akan cepat naik. Waktu itu baru saya akan jaga. Buat masa sekarang nak nikmati apa saja makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 10:01 AM