ANGGOTA  bomba dan penyelamat Pasir Puteh membuat pemeriksaan terhadap kebakaran yang melibatkan bilik asrama di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Padang Pak Amat, Pasir Puteh. FOTO Ihsan JBPM Kelantan.
ANGGOTA bomba dan penyelamat Pasir Puteh membuat pemeriksaan terhadap kebakaran yang melibatkan bilik asrama di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Padang Pak Amat, Pasir Puteh. FOTO Ihsan JBPM Kelantan.
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Tindakan pantas seorang pekerja memadam kebakaran di bilik asrama Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Padang Pak Amat, Pasir Puteh, menyelamatkannya daripada musnah, semalam.

Kebakaran jam 8.45 pagi itu hanya membabitkan sebuah katil dua tingkat dan tiga almari pelajar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustoffar berkata, ketika kejadian 15 pelajar yang menghuni bilik asrama berada di kelas untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Katanya, pihak bomba menerima panggilan pada jam 8.51 pagi dan seramai lima anggota ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba, kami mendapati api sudah dipadamkan oleh pekerja am sekolah dengan menggunakan alat pemadam api.

“Kami membuat pemeriksaan bagi memastikan api padam sepenuhnya dan tiada lagi punca yang mencetuskan kebakaran,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, bomba menampal notis bagi mengambil alih premis untuk siasatan.

Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 9:32 AM