ISTIADAT Perbarisan Diraja Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-36 2017 di Padang Kawad Universiti Teknologi MARA (UiTM), semalam.
ISTIADAT Perbarisan Diraja Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-36 2017 di Padang Kawad Universiti Teknologi MARA (UiTM), semalam.
Rafidah Mat Ruzki


Shah Alam: “Sepanjang tiga tahun sebagai pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), pelbagai pengalaman saya lalui antaranya tidak cukup tidur serta menjalani latihan sukan lasak di hutan,” kata Pegawai Kadet Terbaik, Leftenan Muda Mohd Samir Hishamuddin Ainuddin, 23, dari Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM).

Mohd Samir berkata, program itu turut mendidik serta membantunya meningkatkan keyakinan diri termasuk kebolehannya bercakap dengan orang awam serta menjadikan dirinya berketrampilan.

“Banyak perubahan pada diri saya terutama keyakinan yang semakin meningkat berbanding dulu,” katanya ditemui pada Istiadat Perbarisan Diraja Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-36 2017 di Padang Kawad Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, semalam.

Seramai 1,832 pegawai kadet PALAPES daripada 18 universiti awam ditauliahkan ke dalam Kor Askar Wataniah Tentera Darat, Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli merasmikan istiadat berkenaan.

Bagi Leftenan Muda Susianti Bedu, 23, dia bersyukur menjadi seorang daripada 33 pegawai kadet PALAPES yang terpilih menjadi Pegawai Kadet Terbaik.

“Saya berbangga dan gembira dengan pengiktirafan ini. Insya-Allah saya akan teruskan sebagai pegawai tentera tetap TLDM dan ibu bapa saya juga menyokong hasrat saya. Saya sememangnya berminat menjadi anggota TLDM sebelum melanjutkan diri ke PALAPES lagi,” katanya yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Sejarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Leftenan Muda Nor Amalina Wahida Abdul Khalid, 23, yang juga pegawai kadet PALAPES Udara di Universiti Utara Malaysia (UUM) menyatakan perasaan bangga dan bersyukur selepas ditauliah sebagai pegawai muda serta terpilih menjadi Pegawai Kadet Terbaik.

“Saya tidak jangka pengiktirafan ini dan berterima kasih kepada jurulatih, ibu bapa serta keluarga yang memberi sokongan dan rakan seperjuangan yang sentiasa ada bersama-sama dari peringkat junior hingga ke senior.

“Saya mungkin akan meneruskan kerjaya sebagai anggota tentera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:24 AM