PUTUSKAN untuk berhenti kerja demi mengasuh sendiri anak mereka sejak hamil.
PUTUSKAN untuk berhenti kerja demi mengasuh sendiri anak mereka sejak hamil.
Najiy Jefri


Shukri Yahaya mengaku keputusan meminta isterinya Tya Adnan meninggalkan kerjaya bagi menjaga anak mereka adalah keputusan tepat.

Menurut Shukri, antara sebab utama dia meminta isterinya menjaga puteri sulung mereka, Aaira Ameena, 2, di rumah ialah kerana bimbang dengan kes jenayah membabitkan pengasuh.

“Ada banyak kes menyayat hati membabitkan kanak-kanak dan bayi yang dibunuh dengan kejam oleh tangan tidak berperikemanusiaan.

“Bayangkan anak kecil yang tidak berdosa didera hingga ada tergamak membunuhnya. Saya tidak dapat bayangkan mengapa manusia sekarang terlalu ekstrem melakukan perkara sedemikian.

“Alhamdulillah saya dikurniakan isteri yang sangat memahami pilihan saya yang memintanya untuk berhenti kerja dan menjaga anak. Bagi saya, cara ini lebih selamat dan kasih sayang antara ibu dan anak juga akan lebih erat,” katanya.

Menurut Shukri, dia mengaku tidak mampu membalas jasa isterinya yang sejak hamil memutuskan berhenti kerja dan mengasuh sendiri anak mereka.

“Satu pengorbanan besar dilakukan demi memastikan anak kami membesar dengan selamat. Saya tidak tahu bagaimana untuk membalas pengorbanannya dalam memastikan kebajikan saya dan puteri kami terjaga.

“Sebenarnya sebelum kami berkahwin isteri ada kerjaya sendiri. Namun dia sanggup berhenti kerja bagi memberi tumpuan terhadap rumah tangga.

“Alhamdulillah dia tiada masalah kerana turut menjalankan perniagaan secara dalam talian. Saya rasa cara itu lebih baik,”katanya.

Ditanya bila mahu menambah anak, Shukri berkata, dia sentiasa berusaha untuk mendapat anak namun belum ada rezeki.

“Kami memang nak tambah anak lagi kerana mahu Aaira ada peneman. Insya-Allah doakan yang terbaik dan diharapkan saya timang anak kedua secepat mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shukri sekali lagi dipilih untuk musim kedua perlumbaan kereta Toyota Gazoo Racing bersama Datin Diana Danielle, Janna Nick, Aiman Tino, Nabila Razali, Wany Hasrita, Nabil Ahmad, Aqim Ahmad, Khai Bahar dan Shawn Lee.

Ditanya mengenai pembabitannya buat musim kedua, Shukri berkata, dia kini mempunyai dua hobi iaitu berlumba kereta di litar dan menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Kedua-dua hobi ini dapat menghilangkan tekanan dan memberi saya satu kepuasan yang maksimum.

“Bagi saya peluang menyertai Toyota Gazoo Racing ini memberi saya pendedahan untuk menjaga kereta dengan lebih baik serta cara mengawal kereta sekiranya berlaku sesuatu perkara.

“Namun, hobi mengikuti konvoi motosikal berkusa tinggi masih menjadi minat utama saya. Saya bersama rakan pernah ke Hatyai, Thailand, baru-baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 8:35 AM