SHUKRI Yahaya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
SHUKRI Yahaya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Ramlah Zainal

Nama pelakon popular Shukri Yahaya, 30, pernah terpalit dengan kontroversi yang turut menjejaskan nama baiknya, tahun lalu.

Semuanya bermula dengan pendedahan seorang gadis, Sarah Danielle yang mendakwa Shukri pernah menggodanya dengan kiriman mesej tidak senonoh menerusi aplikasi WeChat.

Walaupun Shukri menafikan dakwaan wanita itu, ia tetap mencalarkan nama baiknya.

Sehubungan itu, Shukri kini lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dilakukannya terutama di media sosial.

“Saya memang trauma dan tidak mahu mengingati lagi kontroversi itu. Saya juga banyak muhasabah diri dan jarang menghadiri acara hiburan sebelum ini kerana bimbang tersalah cakap.

“Saya juga pernah berasa tertekan apabila orang sekeliling menganggap kontroversi itu sebagai serius. Ia adalah sejarah hitam yang saya mahu lupakan.

“Paling sukar ialah untuk saya mendapatkan semula kepercayaan isteri. Sebagai pelakon yang sudah berkahwin, saya perlu menjaga hati isteri dan keluarga kedua-dua pihak,” katanya.

Diminta mengulas kontroversi yang melanda pelakon Syafik Kyle pula, kata Shukri, dia memahami perasaan pelakon itu yang dikaitkan dengan isu panggilan video lucah yang didakwa miripnya sehingga tular baru-baru ini.

“Apa yang terjadi kepada Syafiq itu sama seperti yang pernah saya lalui tahun lalu. Saya juga banyak menghabiskan masa dengan bekerja kerana enggan mengingati sejarah hitam dulu. Mereka yang melalui kontroversi seperti itu akan menjadi lebih matang serta berhati-hati dalam setiap perkara,” katanya.

Mengenai perkembangan karier pula, kata Aktor Antagonis Pilihan, anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 ini, dia bersyukur kerana masih diberi kepercayaan sebagai watak utama dalam lakonan.

“Saya masih berlakon watak utama walaupun jahat atau antagonis. Saya juga pastikan tidak mengambil tiga hingga empat tawaran berlakon dalam satu masa.

“Maklumlah, periuk nasi saya dalam bidang lakonan dan pelakon juga perlu buat kajian bagi memastikan setiap watak diserahkan ada kelainan termasuk drama adaptasi novel. Sebagai pelakon serius, saya juga pastikan berlakon sekurang-kurangnya satu projek drama berat untuk kepuasan dalam lakonan,” katanya.

SHUKRI Yahaya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
SHUKRI Yahaya. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Beraya di Keramat, Kuala Lumpur

Ditanya mengenai sambutan Syawal yang bakal menjelang pula, kata Shukri, dia hanya menyerahkan kepada isterinya, Tya Adnan untuk membuat semua persiapan termasuk untuk anak mereka, Aaira Ameena yang kini berusia setahun sebelas bulan.

“Saya sibuk di lokasi penggambaran drama. Jadi, semua persiapan baju raya termasuk keperluan anak disediakan isteri. Saya juga bercuti raya selama dua minggu iaitu seminggu sebelum dan selepas raya nanti.

“Tahun ini, kami akan beraya di Keramat bersama keluarga isteri,” katanya.

Mengenai juadah raya pula, kata Shukri, antara menu wajib ialah lontong, nasi impit dan kuah kacang masakan ibunya.

“Saya mahu isteri memasak juadah raya pula tahun ini kerana tahun lalu dia jatuh sakit dan tidak dapat memasak hidangan raya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, drama lakonannya, Andainya Takdirnya 2 akan bersiaran pada 13 Jun nanti di TV3. Drama supertele komedi Selirat pula ditayangkan di saluran Astro, Jumaat ini.

Selain itu, dia juga terbabit dua projek baru drama bersiri untuk saluran Hypptv dan Astro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 8:21 AM