WANY Hasrita. FOTO Khairul Azhar Ahmad
WANY Hasrita. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Ardini Sophia Sina

Namanya mula dikenali selepas tampil pertama kali dengan lagu Menahan Rindu.

Gadis jelita bernama Wany Hasrita, 25, ini terus melakar cerita sendiri menerusi setiap lagu yang dinyanyikannya.

Bakal mempertaruhkan single keenam, Wany terus meletakkan kepercayaan kepada Gouffran dan Ibnu sebagai komposer dan penulis lirik untuk mengadun lagu sesuai dengan vokal dan kematangannya dalam industri muzik.

Menurut Wany, rentaknya sedikit berbeza namun identitinya sebagai penyanyi masih utuh dalam alunan karya berkenaan.

“Tidak banyak yang boleh saya kongsikan buat masa ini. Apa yang boleh saya katakan, rentak lagu itu mungkin sedikit berbeza namun masih mengekalkan identiti saya,” katanya.

Baru-baru ini, Wany membuat cubaan berlakon dalam telefilem Tergantung Rindu bersama Haqiem Rusli dan Tajul.

Namun, buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang perancangan bergiat aktif dalam seni lakon.

Kata Wany, dia tidak terfikir untuk bergiat secara serius dalam bidang lakonan kerana menyedari kemampuannya tidak sama seperti mereka yang mempunyai jiwa dan minat sebagai pelakon.

“Saya tahu setakat mana tahap lakonan saya. Kalau boleh, saya mahu fokus dalam bidang nyanyian saja. Walaupun hanya fokus dalam satu bidang, tidak bermakna kita tidak akan berjaya sebagai anak seni.

“Jiwa saya adalah pada nyanyian bukan lakonan. Saya lebih suka kalau buat sesuatu kerana minat. Setiap anak seni itu hanya perlu bijak menyusun kerjaya supaya umum tahu setiap perkembangan kita,” katanya.

Sementara itu, ditanya pembabitannya sebagai seorang peserta pertandingan Toyota Gazoo Racing musim kedua, Wany berkata, dia sebenarnya gemar aktiviti lasak.

Walaupun luarannya kelihatan lemah lembut dengan tutur kata sopan santun, hakikatnya dia bersetuju menyertai Toyota Gazoo Racing kerana ia cabaran baru buatnya.

“Sebagai peserta Toyota Gazoo Racing, saya menerima tawaran itu sebagai cabaran terhadap kekuatan dalaman dan mampu membantu mental untuk lebih peka serta bersiap sedia untuk segala kemungkinan ketika berada di litar perlumbaan.

“Mungkin orang nampak saya seperti individu yang tidak sukakan aktiviti lasak tetapi sebenarnya sukakan sukan ekstrem. Menjadi pelumba dalam pertandingan itu juga sebenarnya dapat membantu saya menjadi pemandu yang lebih baik,” katanya.

Selain Wany, selebriti yang turut serta dalam Toyota Gazoo Racing ialah Shukri Yahaya, Shawn Lee, Aiman Tino, Khai Bahar, Akim Ahmad, Nabil Ahmad, Nabila Razali, Janna Nick dan Datin Diana Danielle.

Perlumbaan itu akan diadakan di empat lokasi berbeza iaitu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 2 hingga 4 Ogos sebelum ke Serdang, Selangor, Stadium Batu Kawan di Pulang Pinang dan berakhir di Litar Antarabangsa Sepang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 7:44 AM