ANTARA kelongsong peluru yang ditemui di parkir berkenaan. FOTO NSTP
ANTARA kelongsong peluru yang ditemui di parkir berkenaan. FOTO NSTP
Faris Fuad


DUA individu dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah pintu hadapan sebuah premis hiburan terkemuka, di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada kejadian jam 10.50 malam itu, tiada individu dilaporkan cedera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, seorang saksi memaklumkan terdengar beberapa das tembakan dari arah parkir kereta ke arah dinding pusat hiburan itu.

“Suspek dipercayai melepaskan das tembakan itu ke arah pintu masuk premis berkenaan.

“Ketika kejadian, terdapat empat pekerja berada di luar pintu masuk dan bahagian penyambut tetamu premis itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian, polis menemui 25 kelongsong peluru di kawasan parkir yang terletak 30 meter dari pintu masuk premis berkenaan.

Dalam pada itu, pihaknya masih tidak dapat mengenal pasti jantina dan identiti suspek yang dipercayai menunggang sebuah motosikal.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 9:08 AM