KEADAAN kedua-dua kenderaan. Gambar kecil (Muhamad Jamaltufirdaus). FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kedua-dua kenderaan. Gambar kecil (Muhamad Jamaltufirdaus). FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


BAPA tidak menyangka rancangan membeli kelengkapan Aidilfitri dengan anak lelakinya pada Sabtu ini, menjadi kenangan terakhir mereka apabila anak keduanya itu maut dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Pekan-Nenasi, di Pekan, hari ini.

Mohamad Hanafiah, 53, berkata, perbualan mesra dengan Muhamad Jamaltufirdaus, 23, ketika mereka bersahur bersama berlangsung dalam suasana ceria awal pagi tadi, sebelum anaknya keluar rumah untuk ke tempat kerja di bandar Pekan.

“Dia beritahu saya nak ajak beli baju raya Sabtu ini... saya cukup terkilan kerana tidak sempat bersama dengannya untuk membuat persiapan Hari Raya. Dia (Muhamad Jamaltufirdaus) tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum pergi kerja.

“Saya reda dengan ketentuan Allah SWT menjemputnya pergi meninggalkan kami sekeluarga di bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Pekan, hari ini.

Menceritakan perwatakan anak lelakinya itu yang bertugas di kilang Auotomotif DRB-HiCOM, Mohamad berkata, Muhamad Jamaltufirdaus sering berbual dengannya mengenai rutin kerja selain bercerita mengenai jalan raya yang sering dilaluinya iaitu Jalan Pekan-Nenasi kerap berlaku kemalangan.

Katanya, setiap kali Ramadan anaknya akan keluar kerja awal dan akan pulang ke rumah sebelum waktu berbuka puasa setiap hari.

“Dia anak yang taat... sudah tiga tahun dia kerja di kilang industri di Pekan, dan sering membantu kami bila berada di rumah,” katanya.

MOHAMAD. FOTO Farizul Hafiz Awang
MOHAMAD. FOTO Farizul Hafiz Awang

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Muhamad Jamaltufirdaus yang memandu Proton Saga dari arah Nenasi menuju ke Pekan dikatakan bertembung dengan sebuah van yang datang dari arah Sungai Miang menuju ke Cenderawasih

Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu van, Abd Rahman Majid, 54, turut maut di tempat kejadian selepas tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan mesin pemotong besi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, siasatan awal pihaknya mendapati pemandu Proton Saga itu dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar van berkenaan.

“Pemandu van dipercayai gagal mengelak kereta yang datang dari arah depan secara mengejut sebelum dua kenderaan itu bertembung. Akibat pelanggaran itu kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dari arah Pekan.

“Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan dan dibawa ke Hospital Pekan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Amran berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pekan, Inspektor Abang Nikhafizi Abang Suhailie,di talian 019-8725173,” katanya.

Berita berkaitan

Dua maut, kenderaan bertembung

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 3:44 PM