GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrul Nizam Mohamad

SELEPAS hampir 15 jam bertarung nyawa, wanita hamil sembilan bulan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 53 Jalan Pekan-Nenasi, dekat Pekan, petang semalam, disahkan meninggal dunia, hari ini.

Mangsa, See Li Jien, 25, dari Lorong Bukit Setongkol Perdana 47, Kuantan, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, jam 8.25 pagi.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Amran Sidek berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang hamil sembilan bulan dalam perjalanan ke Rompin dari Kuantan, atas urusan kerja.

“Sebaik tiba di tempat kejadian Perodua Myvi dipandu mangsa terbabas ke kanan jalan dan melanggar sebatang pokok.

“Mangsa dibantu dikeluarkan orang awam dan dikejarkan HTAA untuk mendapatkan rawatan sebelum meninggal dunia akibat mengalami parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan tidak hujan namun jalan tidak berturap.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 7:46 PM