KEADAAN kereta dan van terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta dan van terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

DUA maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dan van di Jalan Pekan-Nenasi, dekat Kampung Baharu, di Pekan, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, pemandu Proton Saga FLX, Mohamad Jamalupirdaus Mohd, 23, maut di tempat kejadian selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah van.

Kemalangan itu turut menyebabkan pemandu van, Abdul Rahman Majid, 54, maut selepas tersepit di dalam kenderaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.02 pagi sebelum jentera pertama tiba 20 minit kemudian.

“Anggota bomba menggunakan mesin pemotong besi bagi mengeluarkan dua mangsa tersepit sebelum kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Punca kemalangan sedang disiasat polis dan mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi tamat pada jam 8.20 pagi dan kejadian turut dimaklumkan kepada waris mangsa.

NSTP difahamkan Mohamad Jamalupirdaus dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pekan dari arah Nenasi, sebelum terbabit kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 12:04 PM