NAZIM terima secara positif kecaman netizen mengenai lakonannya dalam Cinta Teruna Kimchi.ZUNNUR AL SHAFIQ
NAZIM terima secara positif kecaman netizen mengenai lakonannya dalam Cinta Teruna Kimchi.ZUNNUR AL SHAFIQ
Ardini Sophia Sina


Pelbagai majlis anugerah diadakan bagi menghargai dan mengiktiraf pembabitan karyawan seni baik dalam lakonan mahu pun nyanyian.

Malam ini berlangsung Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2017 (DFKL2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, jam 9 malam.

Selebriti Metro Ahad menggandingkan dua pelakon kacak, Nazim Othman dan Izzue Islam yang masing-masing turut dicalonkan dalam kategori dipertandingkan.

Nazim yang dicalonkan untuk Aktor Pilihan menerusi drama Cinta Teruna Kimchi, berbesar hati kerana pihak penganjur memberi peluang untuk memeriahkan persaingan dengan pelakon lain yang turut tersenarai dalam kategori sama.

Bagi Nazim, majlis anugerah yang dianjurkan di Malaysia adalah acara yang memberi penghargaan kepada penggiat seni sama ada pelakon, pengarah mahupun penulis skrip serta kru yang bekerja di belakang tabir.

Bagaimanapun katanya, anugerah bukan sasaran utamanya. Andai memenangi anugerah yang menyenarai pendek namanya sebagai antara yang terbaik, ia adalah satu bonus.

“Secara peribadi, perkara yang paling penting adalah berpeluang berlakon dalam projek bagus dengan gandingan pelakon yang hebat. Saya fokus untuk memahami jalan cerita sesebuah karya dan memberikan komitmen yang baik.

“Kalau mahu berlakon, bekerjalah dengan ikhlas. Jangan bekerja disebabkan anugerah semata-mata. Apabila lakonan kita pada tahap baik, anugerah itu sendiri yang datang cari kita,” katanya.

Pada awal kemunculan, Nazim pernah berasakan jurang di antara pelakon lama dan mereka yang baru mula bertapak dalam dunia seni. Malah dia pernah dikatakan sebagai pelakon yang tidak berbakat.

Nazim atau Nushrul Alif Othman berkata, dia berfikiran positif dan menjadikannya sebagai pendorong menjadi pelakon yang lebih baik.

“Saya lihat peluang pelakon baru masa kini lebih cerah dan suasana ketika berada di lokasi penggambaran juga selesa. Mereka bertuah kerana tidak wujud ‘double standard’ antara pelakon lama dan baru.

“Pelakon baru sangat bertuah kerana pelakon lama melayan mereka dengan baik. Mereka juga mudah berinteraksi dan bergurau.

“Dalam keadaan seperti ini, saya berharap agar mereka yang baru saja bertatih dalam industri mengambil peluang untuk menimba ilmu daripada pelakon senior.

“Ada sesetengah pelakon melakukan kerja asal boleh tetapi ada juga pelakon baru yang saya lihat mempunyai masa depan cerah dalam industri,” katanya.

Mengenai cabaran dilalui ketika menjalani penggambaran drama Cinta Teruna Kimchi, Nazim akui mendapat kecaman hebat daripada netizen tetapi enggan memikirkan perkara itu.

Baginya, drama itu antara karya yang benar-benar mencabar dirinya kerana bukan hanya perlu berlakon dalam cuaca sejuk tetapi juga harus berbahasa Korea.

“Sepanjang berlakon, mujur ada pelajar di sana yang membantu saya untuk menyebut perkataan Korea dengan betul.

“Bayangkan saya harus berbahasa Korea dalam cuaca sejuk. Badan saya menggeletar tetapi wajah saya harus tetap kekal memainkan emosi yang sepatutnya,” katanya.

Turut dicalonkan untuk Aktor Pilihan ialah Shukri Yahaya (7 Hari Mencintaiku), Aeril Zafrel (Patahnya Sebelah Sayap), Nazrief Nazri (Nasi Minyak Kuah Cinta), Shukri Yahaya (Surah Buat Maisarah), Ben Laden (Amsyar) dan Amar Asyraf (Terlarang Sudah Rinduku).

Izzue dibenci kerana Amzar

Memiliki wajah ‘jambu’ dan sering diberi watak pemuda baik, Izzue Islam akhirnya puas dapat membuktikan kemampuannya menjiwai watak antagonis sebagai Amzar dalam drama Patahnya Sebelah Sayap.

Sebelum ini dia dikatakan tidak sesuai membawakan watak jahat kerana wajahnya tetapi dia membuktikan mampu melakonkan watak itu dengan baik.

Lebih menggembirakan Izzue apabila lakonannya dapat diterima peminat dan kini dicalonkan Aktor Antagonis Pilihan di Anugerah DFKL2017.

Anggota kumpulan Forteen itu berkata, impak daripada lakonan itu ada peminat membencinya hingga ‘unfollow’ dirinya di laman sosial Instagram.

“Mereka hanya mengikuti media sosial saya selepas drama itu selesai. Ada juga yang menggunakan kata-kata kesat di Twitter kerana terlalu geram dengan Amzar.

“Saya pernah sertai aktiviti Jom Heboh. Tiba-tiba ada seorang lelaki datang dan marah-marah. Saya terkejut kerana dia datang dan marah tanpa saya tahu punca.

“Tetapi apabila dia puas marah, dia puji lakonan saya kemudian terus tinggalkan saya yang masih ‘blur’. Rupa-rupanya dia marah dengan sikap Amzar tetapi lepaskan kepada saya,” katanya tergelak mengenangkan kembali memori itu.

Kata Izzue, sebelum ini dia pernah berlakon dalam beberapa drama dan telefilem memegang watak antagonis tetapi karakter Amzar benar-benar mencabar dirinya.

Dengan penampilan kemas, dia harus mencari cara agar jahat itu bukan hanya dilihat pada perbuatan atau perkataan tetapi juga menerusi gerak mata dan air muka.

“Watak antagonis sebelum ini sudah nampak jahat dari segi penampilan. Macam parut, rambut yang serabai dan pakaian yang tidak kemas. Berlainan dengan watak Amzar. Luarannya dia baik tetapi hakikatnya dia sangat jahat. Ada dua wajah yang saya perlu tunjukkan.

“Saya gembira kerana berjaya melakonkan watak itu sehingga menjadi kebencian penonton tetapi kalau mahu bercakap mengenai kepuasan, saya sebagai pelakon masih belum puas.

“Apabila menonton kembali lakonan saya, masih ada ruang yang saya perlu perbaiki. Saya tidak teragak-agak untuk menerima watak antagonis kalau karakter itu menarik,” katanya.

Turut dicalonkan, Faye Kusairi (7 Hari Mencintaiku), Azizah Mahzan (Kahwin Muda), Idris Khan (Mr Donat Karamel), Beego (Surah Buat Maisarah), Reen Rahim (Lambaian Ramadan), Maria Farida (Love You Mr.Arang), Amyza Aznan (Menantu Ting Tong), Risteena Munim (Cinta Teruna Kimchi) dan Shiqin Kamal (Cinta Si Wedding Planner).

Anugerah DFKL 2017 adalah kali keempat dianjurkan bertujuan meraikan peminat yang sentiasa memberi sokongan padu kepada drama tanah air khususnya siaran TV3 dan TV9.

Drama yang dicalonkan mendapat rating tinggi daripada setiap slot yang disiarkan sepanjang 2016.

Secara keseluruhan, Anugerah DFKL 2017 mempertandingkan 11 kategori, Anugerah Aktor Pilihan, Anugerah Aktres Pilihan, Anugerah Antagonis Pilihan, Anugerah Drama Pilihan, Anugerah Lagu Pilihan, Anugerah Penulisan Skrip Pilihan, Anugerah Pilihan tonton VIP, Anugerah Pasangan Pilihan dan Anugerah Pengarah Pilihan.

Dua lagi anugerah yang dipertandingkan ialah Drama Pendek Pilihan dan Drama Radio Pilihan.

Bersiaran secara langsung di TV3, barisan hos Anugerah DFKL 2017 ialah Sherry Al-Hadad, AG dan Rita Rudaini manakala artis yang bakal mewarnai persembahan malam ini termasuk Mawar Rashid, Mimi Lana, Syafiq Kyle, Hafidz Roshdi, Izzue Islam, Elyana, Salma Mentor, Sissy Imann, Aiman Tino dan Haqiem Rusli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 8:03 AM