ZILA Bakarin.
ZILA Bakarin.
Ramlah Zainal


Katalah apa saja mengenai imej dan penampilan seksinya yang sering mengundang perhatian ramai, ia tidak sedikit pun menjadi kudis di hati.

Bagi pelakon Zila Bakarin, 41, sepanjang dua dekad berkecimpung dalam bidang lakonan dia selesa menjadi diri sendiri.

“Saya berlakon kerana minat dan ingin membantu meringankan beban suami menyara keluarga.

“Maklumlah, kami ada anak yang sedang membesar dan suami bukan lahir dalam keluarga berada. Dia bekerja sebagai jurukamera.

“Namun, saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang sangat memahami dan menyokong kerjaya seni saya.

“Walaupun hidup sederhana, rumah tangga kami tetap bahagia bersama anak,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Azri Izhar, 42, Zila dikurniakan dua zuriat, Kaseh, 7 dan Chinta, 4.

Bagaimanapun, Zila tidak menafikan ada segelintir pihak menganggap dia hidup mewah kerana penampilannya.

“Lebih teruk lagi, ada yang ingat saya janda dan isteri kedua golongan kenamaan.

“Sebenarnya, saya suka bersederhana dan tidak mengejar barangan berjenama.

“Malah, saya tidak kisah memakai baju yang tiada jenama asalkan ia cantik digayakan,” katanya.

Sinonim dengan watak jahat

Bukan saja imej seksi, Zila juga sering melakonkan watak antagonis.

“Saya percaya bukan semua pelakon boleh melakonkan karakter jahat dengan berkesan.

“Jumlah pelakon seangkatan saya yang boleh menjiwai watak sebegini boleh dikira dengan jari.

“Sebab itu, saya tidak kisah apabila penerbit dan pengarah asyik tawarkan watak jahat. Mereka percaya dengan kebolehan saya sebagai pelakon senior,” katanya.

Mengulas pembabitannya dalam drama bersiri Memori Cinta Suraya (MCS), Zila berkata dia menimba pengalaman berharga sepanjang penggambaran.

“Gara-gara karakter dalam drama ini, ramai peminat panggil saya ‘mummy jahat’.

“Sebagai pelakon, saya bangga kerana MCS bukan saja berjaya mencecah rating 2.2 juta, tetapi kini turut ditayangkan di Indonesia. .

“Walaupun drama ini sudah berakhir, hubungan pelakon dan kru rapat sampai sekarang,” katanya.

Selepas MCS, Zila terikat dengan penggambaran drama 13 episod, Jasmin untuk TV3 dan Aku Pilih Kamu.

Antara drama lakonannya sebelum ini ialah Permata, Romeo, Kurma Ajwa Untuk Najwa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 7:54 AM