NINA Iskandar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
NINA Iskandar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ardini Sophia Sina


PELAKON meningkat naik, Nina Iskandar mendedahkan ramai peminat meminta dia berehat seketika daripada melakonkan watak yang menjadi mangsa didera dan banyak menangis.

Nina yang memegang watak utama dalam drama Isteri Dalam Sangkar berkata, permintaan itu bukanlah disebabkan peminat bosan menonton lakonannya tetapi kerana kasihan.

"Ramai peminat yang minta agar saya membawakan watak lebih ceria kerana kasihan melihat karakter saya yang sering menjadi mangsa dera dan berendam air mata.

"Dibandingkan dengan watak Fatehah dalam Andainya Takdir, saya akui karakter Aishah menerusi siri Isteri Dalam Sangkar lebih mencabar kerana hampir setiap babak saya menangis," katanya.

Malahan, baru seminggu penggambaran dijalankan, Nina ada menyuarakan kepada pihak produksi agar mencari pelakon lain bagi menggantikan tempatnya.

Pun begitu, Nina cekalkan hati dan teruskan kerana sudah terikat dengan komitmen selain memenuhi permintaan stesen televisyen dan produksi yang inginkan dia terbabit dengan drama berkenaan.

"Selepas seminggu penggambaran, saya minta untuk produksi carikan pengganti kerana watak itu sangat berat dan saya rasa tidak mampu melakonkan karakter itu. Tetapi, saya cekalkan hati dan teruskan juga.

"Watak ini lebih sukar jika dibandingkan dengan Fatehah dalam Andainya Takdir. Disebabkan terlalu banyak babak menangis, saya rasa sangat letih dan tertekan. Kalau tidak tahan memang boleh gila.

"Bayangkan, kami berlakon seawal jam 8 pagi hingga jam 6 pagi. Sepanjang hari saya kena menangis. Rehat beberapa jam, esoknya babak pertama saja saya harus menangis semula," katanya.

Drama Isteri Dalam Sangkar yang ditayangkan menerusi saluran HyppSensasi adalah adaptasi dari karya dengan judul yang sama. Antara pelakon yang membintangi rantaian itu ialah Azrel Ismail, Nina Iskandar, Sherie Merlis, Aishah Azman, Aidil Aziz dan Ungku Hariz.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 7:01 PM