MOHD Razmi memaklumkan isterinya sudah kembali bersama keluarga. FOTO NSTP
MOHD Razmi memaklumkan isterinya sudah kembali bersama keluarga. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: “Syukur isteri sudah kembali ke pangkuan keluarga semalam (kelmarin), harap urusan memohon sijil kelahiran dua anak kami menjadi lebih mudah,” kata Mohd Razmi Jusoh, 49.

Sebelum ini bapa kepada tiga anak itu buntu memikirkan cara mendaftarkan dua anaknya yang belum memiliki sijil kelahiran berikutan isterinya Misyana Polija, 43, menghilangkan diri sejak Februari lalu.

Jelasnya, dia kini memohon mendapatkan sijil kelahiran dua anak mereka iaitu Puteri Maisara Mohd Razmi, 7, dan Mohd Andika berusia 12 bulan yang sebelum ini tidak dapat diproses Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Meskipun disertakan dokumen, JPN minta isteri hadir untuk proses pengesahan cap jari. Permohonan dilakukan dengan bantuan seorang peguam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Menjadi harapan saya melihat Puteri Maisara bersekolah selepas ini. Selain itu saya akan menyelesaikan masalah pendaftaran perkahwinan dengan jabatan agama negeri.

“Kami berkahwin menggunakan khidmat imam daripada Indonesia, jadi banyak perkara perlu diselesaikan,” katanya.

Razmi bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta berharap urusan itu diselesaikan segera.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

LAPORAN Harian Metro,  12 April lalu. FOTO NSTP
LAPORAN Harian Metro, 12 April lalu. FOTO NSTP

Harian Metro pada 12 April lalu melaporkan dua daripada tiga anak Mohd Razmi menghadapi masalah mendaftarkan sijil kelahiran hingga menyebabkan anak sulungnya, Puteri Maisara tidak bersekolah.

Proses permohonan bertambah rumit apabila ibu kanak-kanak itu yang berasal daripada Medan, Indonesia, menghilangkan diri, selepas tinggal sendiri ketika bekerja di ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 6:07 AM