Hazira Ahmad Zaidi

Rantau Panjang: Sebanyak 33,244 kes daftar lewat sijil kelahiran (DLSK) direkodkan di seluruh negara sejak 2018 hingga Februari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) Datuk Ruslin Jusoh berkata, perkara itu tidak boleh dianggap remeh dan perlu kesedaran ibu bapa demi dokumentasi anak mereka.

Katanya, Kelantan merekodkan 1,667 kes DLSK yang kebanyakannya berpunca daripada perkahwinan luar negara yang tidak didaftarkan di Malaysia, selain perceraian, kecuaian ibu bapa dan anak tidak sah taraf.

"Mendaftarkan kelahiran anak adalah kewajipan semua ibu bapa sama ada anak dilahirkan di Malaysia atau hasil daripada perkahwinan yang berlaku di sempadan.

"Ada kes di mana ibu bapa tidak mendaftarkan kerana takut, apabila perkahwinan berlaku di sempadan, anak-anak pula dilahirkan di Malaysia.

"Kesan kepada anak (tidak didaftarkan) apabila anak-anak layak untuk masuk ke sekolah dan pihak sekolah mensyaratkan dokumen pengenalan diri iaitu surat beranak," katanya ditemui selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Petai Dusun di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, terdapat 225 pejabat JPN di seluruh negara dan ibu bapa yang mempunyai masalah ke pejabat disebabkan jarak rumah yang jauh atau masalah kewangan, boleh menghubungi pihaknya untuk bantuan pendaftaran.

Beliau menasihati ibu bapa yang masih tidak mendaftar anak mereka supaya berbuat demikian, selain berharap ketua masyarakat memainkan peranan untuk melaporkan kes berkaitan kepada JPN.

"Boleh merujuk pihak JPN sekiranya bermasalah, kita ada pasukan yang turun padang tiga atau empat bulan sekali untuk membantu proses pendaftaran kelahiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 6:55 PM