BAJU besi yang dipakai Crowe (gambar kecil) dalam filem Gladiator turut dilelong. FOTO EPA-EFE & AFP
BAJU besi yang dipakai Crowe (gambar kecil) dalam filem Gladiator turut dilelong. FOTO EPA-EFE & AFP
AFP

Sydney: Lelongan luar biasa aktor Hollywood, Russell Crowe, termasuk barangan peribadi dan memorabilia filem Gladiator dan Cinderella Man yang digelar ‘lelongan perceraian’, berjaya meraih jutaan dolar.

Lelongan kendalian The Sotheby di Sydney berjudul Russell Crowe: The Art of Divorce menampilkan lebih 200 barangan, meraih AS$2.8 juta (RM10.8 juta).

Ia termasuk barangan kemas yang dihadiahkan kepada bekas isteri, aktres Danielle Spencer.

“Kadar sejam yang cukup memuaskan untuk syif lima jam,” tweet aktor kelahiran Australia itu selepas lelongan yang berlangsung pada hari jadinya yang ke-54.

Ketua Pegawai Eksekutif Sotheby Australia, Gary Singer berkata, lelongan itu sangat berjaya, menyaksikan memorabilia filem yang meraih Oscar, Gladiator sebagai barangan paling popular.

“Orang ramai seperti hilang akal. Ia seolah kegilaan terhadap Crowe,” katanya kepada stesen televisyen Channel Seven hari ini.

Antara barangan yang paling hangat dilelong ialah replika kereta kuda Rom dari filem Gladiator yang berfungsi sepenuhnya, mencecah sehingga AS$49,876 (RM193,000) berbanding jangkaan awal AS$7,700 (RM29,800).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 8:51 AM