JERSI Michael Jordan yang bernilai RM45.8 juta. FOTO AFP
JERSI Michael Jordan yang bernilai RM45.8 juta. FOTO AFP
AFP

New York: Jersi yang dipakai oleh legenda bola keranjang, Michael Jordan semasa Permainan 1 Pusingan Akhir NBA 1998 yang juga kejuaraan terakhirnya, dijual dengan rekod AS$10.1 juta (RM45.8 juta), kata Sotheby.

Jersi merah Chicago Bulls dengan nombor 23 pada bahagian belakang, mendapat bidaan tertinggi berbanding mana-mana memorabilia sukan yang pernah dipakai ketika beraksi, kata firma lelongan itu sekali gus mencipta rekod baharu untuk jersi bola keranjang.

Jumlah bidaan terakhir itu adalah dua kali ganda daripada jangkaan Sotheby dan jersi itu menarik sehingga 20 bidaan.

Jersi Jordan itu mengatasi rekod yang dicatatkan pada bulan Mei untuk memorabilia sukan termahal yang pernah dijual, iaitu jersi 'Tangan Tuhan' Diego Maradona.

Rekod sebelum ini untuk jersi bola keranjang yang pernah dipakai ketika beraksi adalah jersi ditandatangani oleh Kobe Bryant, yang memakainya pada musim 1996-97 bernilai AS$3.7 juta (RM16.7 juta).

Ia adalah jersi kedua milik Jordan yang pernah dipakai sepanjang enam kejuaraan diraihnya untuk dilelong.

Jersi itu juga koleksi barangan memorabilia sukan Michael Jordan yang paling mahal terjual.

Jordan yang kini berusia 59 tahun, menghabiskan hampir keseluruhan kariernya bersama Bulls yang menyaksikannya memenangi enam kejuaraan tetapi keluar dari persaraan pada 2001 untuk beraksi selama dua musim dengan Washington Wizards.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 8:14 AM