Keadaan banjir di Kampung Sungai Jernih, Jalan Cheras-Kajang hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan banjir di Kampung Sungai Jernih, Jalan Cheras-Kajang hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kajang: "Nasib baik juadah berbuka sempat dimasak sebelum rumah kami dinaiki air," kata Azizzudin Kamaruddin,54, mangsa banjir kilat di Kampung Sungai Jernih, Jalan Cheras-Kajang di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 7 malam susulan hujan lebat sejak 6 petang.

"Ini kali kedua kejadian banjir berlaku di kawasan ini, kali pertama pada Julai tahun lalu tetapi lebih teruk berbanding kali ini.

"Kami bernasib baik sempat menyiapkan juadah berbuka puasa namun beberapa peralatan di dapur rosak kerana dimasuki air," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku akibat limpahan Sungai Langat yang terletak berhampiran kediamannya.

"Air naik mendadak, kalau sungai melimpah memang akan terjadi banjir di kawasan ini.

"Kali ini agak kurang sedikit berbanding kejadian pertama dulu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, tiga kawasan di Taman Sungai Jelok, Taman Kantan Permai dan Jalan Cheras Batu 13 dinaiki air.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Kajang dan Bandar Tun Hussein Onn dikerahkan ke lokasi bagi memberi bantuan kepada penduduk terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 9:39 PM