Oleh Melvin Joni


SERIAN: Bukan sahaja ancaman banjir bahkan kehadiran buaya turut menjadi kebimbangan penduduk Kampung Jawa Gunda, Jalan Kuching-Serian ketika musim hujan.

Ini kerana paras air Sungai Endap yang terletak tidak jauh dari kampung berkenaan naik akan melimpah ke rumah-rumah penduduk.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan ketakutan penduduk kerana dikhuatiri turut mengundang buaya yang menghuni sungai berkenaan.

Ketua Kampung Jawa Gunda, Ramad Ahmad berkata, selain Sungai Endap, beberapa lorong di kampung berkenaan juga terjejas banjir disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak mampu mengalirkan jumlah air yang banyak ketika hujan lebat.

Katanya, antaranya di Lorong 2A, 3 dan 5 yang menyaksikan lima rumah dinaiki air berpunca dari sistem perparitan yang tidak sempurna itu.

"Kami bimbang apabila berlaku banjir kerana ada buaya di Sungai Endap ini," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Ramad, terdapat empat pembetung di dua parit besar yang mengalami masalah tidak berfungsi dengan baik ketika hujan lebat.

Justeru, beliau berharap masalah itu mendapat perhatian segera daripada pihak berkaitan.

"Saya berharap pembetung sedia ada ditukar kepada yang lebih besar lagi kerana ia adalah punca yang menyebabkan banjir ke atas rumah-rumah khususnya di Lorong 2A, 3 dan 5," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 4:27 PM