Asrizal Aris

 

BIARPUN baru dua tahun mula serius dalam arena sukan elektronik atau e-sukan, pemuda ini berjaya membawa nama Malaysia untuk kali pertama ke FIFA eWorld Cup 2018 di Barcelona, Sepanyol, 26 dan 27 Januari ini.

Namanya mungkin tidak dikenali oleh masyarakat biasa, namun dalam kalangan komuniti e-sukan FIFA 18 di seluruh dunia, Muhammad Luqman Haziq Hajiman, 21, antara yang digeruni dan menjadi perhatian pemain tempatan dan antarabangsa.

Muhammad Luqman yang juga penuntut Universiti Malaya (UM) berkata, dia mula meminati permainan video sejak kanak-kanak dan aktif bermain secara dalam talian selepas menamatkan pengajian di matrikulasi dua tahun lalu.

Katanya, sejak itu dia menyertai beberapa pertandingan yang diadakan sehinggalah bakatnya itu disedari oleh penganjur pertandingan e-sukan tempatan, Gamesbond, lalu dilamar menjadi pemain di bawah naungan pertubuhan itu.

"Bagi FIFA eWorld Cup ini, saya mendaftar dan menyertai pusingan kelayakan secara dalam talian November lalu di mana saya perlu menentang pemain di seluruh dunia sebanyak 160 perlawanan.

"Dalam sebulan itu, saya menang 154 perlawanan dan keputusannya saya tersenarai dalam kelompok 64 pemain terbaik dunia bagi platform PS4 (Play Station 4) untuk layak bertanding di Barcelona.

HAZIQ ketika bermain FIFA 18 di rumahnya. FOTO Khairus Ramli
HAZIQ ketika bermain FIFA 18 di rumahnya. FOTO Khairus Ramli

"Selain saya, ada tiga lagi pemain mewakili Asia dan Oceania iaitu Jepun, Arab Saudi dan New Zealand yang akan beraksi di pentas besar pertandingan anjuran syarikat e-sukan terkenal, EA Sports," katanya.

Menurut Haziq, sembilan pemain mewakili negara di Amerika manakala selebihnya adalah pemain Eropah yang akan bertanding untuk merebut hadiah utama wang tunai AS$200,000 atau RM792,160.

Katanya, EA Sports akan menanggung semua kos pengangkutan, kelengkapan, penginapan dan makanan untuknya ke Barcelona. Haziq dijangka berlepas dari Malaysia, 22 Januari ini.

HAZIQ ketika bermain FIFA 18 di rumahnya. FOTO Khairus Ramli
HAZIQ ketika bermain FIFA 18 di rumahnya. FOTO Khairus Ramli

Bercerita mengenai pengurusan masa, dia tetap mengutamakan pelajarannya dan tidak akan menyertai pertandingan itu sekiranya dia sedang menduduki peperiksaan akhir.

"Alhamdulillah, ia seperti dirancang. Saya baru sahaja menamatkan semester tiga. Ini adalah kali kedua saya menyertai pertandingan e-sukan di luar negara selepas menjuarai kejohanan di Singapura tahun lalu dalam acara berkumpulan.

"Setakat ini saya tiada sebarang tekanan untuk menentang pemain Eropah kerana saya tidak tahu siapa atau apa kelebihan mereka biarpun rata-rata yang layak ke kelompok 64 ini berpengalaman lebih lima tahun.

"Saya akan buat yang terbaik kerana saya mewakili nama Malaysia dan ini adalah pertama kali negara tersenarai ke kelompok 64 selepas 14 tahun pertandingan ini diadakan," kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Menurut penuntut program pengurusan kewangan itu, sekiranya layak sebagai lapan pemain terbaik, dia sekali lagi akan beraksi pada Ogos nanti bagi acara kemuncak yang kebiasaannya akan dihadiri pemain bola sepak terkenal antarabangsa sebagai penonton.

Kata Haziq, pemenang turut menerima jemputan untuk ke majlis Anugerah Bolasepak FIFA 2018 yang menampilkan pemain terbaik dunia serta dilantik sebagai pemain e-sukan mewakili kelab bola sepak terkemuka.

HAJIMAN Mohd Yusof (dua kanan) dan Muhayon Mashodi (kanan) sentiasa memberi sokongan kepada anaknya. FOTO Khairus Ramli
HAJIMAN Mohd Yusof (dua kanan) dan Muhayon Mashodi (kanan) sentiasa memberi sokongan kepada anaknya. FOTO Khairus Ramli

Sementara itu, bapanya, Hajiman Mohd Yusof, 57, berkata, dia tidak pernah menghalang anak sulungnya itu untuk memilih permainan video atau e-sukan sebagai hobi namun perlu bijak menguruskan masa.

"Malah saya menyokong dia untuk beraksi di peringkat antarabangsa dan menyediakan kelengkapan untuk dia menyertai pertandingan itu sejak peringkat kelayakan lagi.

"Saya tahu disiplin dia, saya tahu kemampuan dia menguruskan masanya. Saya hanya menyediakan platform dan saluran, dia sendiri yang berusaha mengembangkan bakatnya sehingga berjaya," kata pengurus kewangan itu.

Ibu Haziq, Muhayon Mashodi, 53, pula berkata, biarpun tidak dapat ke Barcelona untuk memberi sokongan kepada anaknya, dia dan keluarga setiasa mendoakan kejayaan Haziq yang membawa nama negara ke Eropah.

"Pesan saya jangan tinggal solat dan sentiasa berdoa. Kami memberi sokongan dari jauh. InsyaAllah jika ada rezeki untuk peringkat seterusnya kami tidak menghalang untuk Haziq kembangkan bakatnya," katanya yang juga seorang guru besar.

Hanya berbekalkan latihan dan pengamatan melalui YouTube, Haziq hanya mengambil masa setahun lebih untuk memahirkan diri dengan kemahiran mengelecek dan tektikal perlawanan dalam e-sukan FIFA.

FIFA eWorld Cup anjuran EA Sports mula diadakan pada 2004 di Switzerland yang dimenangi oleh pemain Brazil. Tahun ini Malaysia pertama kali layak ke kelompok 64.

Kejayaan Haziq sekaligus membuktikan e-sukan atau cyber games bukan sahaja menjanjikan hiburan sihat dan gaya hidup, malah industri baru itu mampu menjana pendapatan besar negara seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 11:21 PM
HAZIQ tidak menghadapi sebarang tekanan untuk berdepan pemain profesional Eropah di Barcelona. FOTO Khairus Ramli
HAZIQ tidak menghadapi sebarang tekanan untuk berdepan pemain profesional Eropah di Barcelona. FOTO Khairus Ramli