SAADI Muksin (kanan) diiringi anggota polis ketika dibawa ke ibu pejabat polis Bekasi di Jakarta kelmarin. FOTO Liputan6.com
SAADI Muksin (kanan) diiringi anggota polis ketika dibawa ke ibu pejabat polis Bekasi di Jakarta kelmarin. FOTO Liputan6.com
Agensi

Jakarta: Seorang suami yang malas bekerja bertindak kejam apabila memukul kepala isterinya dengan tukul besi beberapa kali hingga mati kerana berang selepas sering diperli wanita itu selain mendesak diceraikan.

Merdeka.com melaporkan, Saadi Muksin, 47, ditahan polis kerana disyaki membunuh isterinya Lely Lismayati, 39, di kediaman mereka di Bekasi Utara, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Metro Bekasi Kota Wijdonaro berkata, pasangan itu sering bertengkar kerana Saadi tidak bekerja dan lelaki itu turut menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit selepas wanita berkenaan kerap minta diceraikan.

Menurut media Indonesia, pasangan berkenaan sudah berkahwin selama 17 tahun dan mempunyai dua anak tetapi sepanjang tempoh itu Saadi tidak pernah bekerja.

Keadaan itu menyebabkan Lely terpaksa bekerja di sebuah kilang tayar untuk menampung kehidupan keluarganya.

“Suspek tersinggung kerana mangsa sering menyindirnya kerana tidak mempunyai pekerjaan.

“Kebelakangan ini pasangan berkenaan dilaporkan semakin kerap bertengkar, namun kali ini lelaki itu hilang kesabaran selepas isterinya meminta wang dan menariknya menyebabkan mereka terjatuh.

“Suspek yang berang dengan tindakan isterinya terus mencapai tukul besi di lantai sebelum memukul kepala wanita itu berulang kali sehingga mangsa mati.

“Jiran yang mendengar jeritan wanita itu meminta tolong segera menghubungi polis tetapi malangnya apabila pihak berkuasa tiba mangsa ditemui sudah mati dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Menurutnya, suspek melarikan diri selepas kejadian itu tetapi menyerah diri ke balai polis berhampiran beberapa jam selepas itu.

Dalam satu sidang media di ibu pejabat polis Bekasi kelmarin, Saadi mengaku dia menyesal dengan perbuatannya selain terkenang nasib dua anaknya yang masih bersekolah.

“Menyesal pak. Saya khilaf, emosi. Saya terfikir mengenai nasib dua anak saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 4:22 AM