Omar Ahmad

Johor Bahru: Lebih 30 peratus daripada 100 ibu tunggal dan keluarga B40 yang berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas adalah wanita yang ditinggalkan suami tanpa diceraikan.

Pengerusi Penggerak Wanita Darul Takzim DUN Kempas, Rozita Muhamad Sanusi berkata, hasil aduan yang diterima golongan ini mempunyai masalah dari segi menerima bantuan kerana status mereka.

Katanya, kumpulan wanita ini, sangat memerlukan bantuan terutama barangan dapur, keperluan anak-anak tetapi sukar mendapatkannya.

"Mereka ini golongan yang digantung tidak bertali oleh suami masing-masing. Saya kerap terima aduan dari mereka selain ibu tunggal dan keluarga B40 yang sering kehabisan keperluan dapur dan keperluan anak termasuk lampin pakai buang dan makanan.

"Kami membantu tetapi mempunyai kekangan sendiri. Apabila disalurkan kepada agensi terbabit seperti Majlis Agama Islam negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), status mereka menyukarkan bantuan disalurkan.

"Dua agensi ini banyak membantu memberikan nasihat dan jalan buat golongan ini.

"Mereka bukan kematian suami, mereka tidak diceraikan tetapi ditanggalkan tanpa khabar dan nafkah oleh suami masing-masing.

"Kami cuba bantu dengan bantuan yang ada termasuk membekalkan kemahiran kepada mereka untuk lebih berusaha," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Tadarus Al-Quran dan Penyerahan Bantuan Bakul Makanan kepada 100 ibu tunggal dan keluarga B40 Dun Kempas di sini, hari ini.

Program dengan kerjasama Penggerak Wanita Darul Takzim, Persatuan Usahawan Muslimah Johor, MAINJ dan Angsana Johor Bahru Mall ini dengan sumbangan barangan keperluan dapur dan kuih raya.

Rozita (kanan) menyampaikan bantuan kepada 100 ibu tunggal dan keluarga B40. FOTO Omar Ahmad
Rozita (kanan) menyampaikan bantuan kepada 100 ibu tunggal dan keluarga B40. FOTO Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 4:42 PM