ANGGOTA bomba memotong cincin yang tersangkut pada jari manis tangan kanan seorang kanak-kanak perempuan. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memotong cincin yang tersangkut pada jari manis tangan kanan seorang kanak-kanak perempuan. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


ANGGOTA bomba dan penyelamat memotong cincin yang tersangkut di jari manis tangan kanan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, malam tadi.

Dalam kejadian 7.20 malam itu, waris kanak-kanak itu dikatakan membawa kanak-kanak itu ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar untuk membantu memotong cincin berkenaan yang tersangkut.

Anggota bomba turut menenangkan kanak-kanak itu selain memujuknya sepanjang operasi dilakukan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fisol Kadir bersama dua anggota membantu menanggalkan cincin berkenaan.

Beliau berkata, operasi dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelak kecederaan pada jari kanak-kanak berkenaan.

"Anggota kami menggunakan alat pemotong cincin untuk menanggalkan cincin berkenaan supaya dapat dipotong dengan mudah.

"Operasi dilakukan kurang dari lima minit dan akhirnya cincin itu berjaya dipotong," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 10:18 AM