Shamsul Munir Safini


POLIS akan melakukan bedah siasat susulan terhadap mayat bayi perempuan yang maut disyaki didera ibu bapanya di Bukit Mertajam, berikutan kesan gigitan yang ditemui pada mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pihaknya terpaksa menunggu kehadiran pakar gigi yang akan melihat kecederaan gigitan yang ditemui pada kedua-dua tangan bayi berusia 47 hari berkenaan.

"Kita akan menunggu kehadiran pakar gigi yang akan menjalankan bedah siasat secara terperinci, esok.

"Selepas itu mungkin mayat bayi berkenaan akan diserahkan kepada waris bagi urusan pengebumian," katanya.

Semalam, polis mendedahkan punca utama kematian bayi berkenaan adalah akibat pendarahan dalam kepala.

Hasil bedah siasat juga mendapati terdapat kesan lebam dan calar pada bahagian tubuh di bahagian kepala, muka, mulut, badan, kedua-dua lengan atas dan kedua-dua kaki serta kemaluannya.

Selain itu juga, terdapat kesan gigitan pada kedua-dua belah anggota tangan mangsa.

Nik Ros Azhan berkata, hasil pemeriksaan dalaman juga menunjukkan kesan pendarahan yang banyak di bawah kulit kepala dan otak mangsa.

"Organ otak mangsa juga membengkak akibat pendarahan selain kesan kecederaan pada atas bibir.

"Selain itu banyak kesan patah dan penyembuhan pada tulang rusuk kiri dan kanan mangsa. Terdapat kesan patah dan penyembuhan pada lengan kanan dan kesan patah baru pada tulang peha kiri," katanya.

Katanya, kecederaan itu dipercayai berpunca daripada objek tumpul dan keras seperti lantai, dinding dan pintu termasuk juga perbuatan cubit serta hentakan.

Semalam, ibu bapa mangsa yang masing-masing berusia 22 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kejadian 10.45 pagi kelmarin, mangsa maut dipercayai akibat didera keluarganya dan mayatnya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Bapa mangsa yang juga seorang pemandu lori menyedari anaknya itu tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke hospital sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di klinik berdekatan.

Berita berkaitan

‘Menanggung seksa hingga dijemput ajal’

Jiran selalu dengar bayi menangis

Ibu bapa bayi 47 hari direman [METROTV]

Bayi baru 47 hari maut didera?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 2:42 PM