Muhammad Apendy Issahak


PEKERJA kantin kilang didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini atas dakwaan mendera anak perempuannya berusia enam bulan, 2 Februari lalu.

Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 21, didakwa melakukan perbuatan mendera sehingga mengalami kecederaan pendarahan dalam otak terhadap mangsa Nur Khayra Mohamad Amirul Asnil.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Paya Baru, Kamunting, kira-kira 3 petang 2 Februari lalu.

Mohamad Amirul dituduh mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd Razak.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh sebelum Mohamad Amirul Asnil meminta jaminan dikurangkan.

Hakim Che Noralashiken mengekalkan jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan 21 Mac ini bagi sebutan semula kes.

MOHAMAD Amirul Asnil dibawa ke Mahkamah Sesyen Taiping. FOTO L Manimaran
MOHAMAD Amirul Asnil dibawa ke Mahkamah Sesyen Taiping. FOTO L Manimaran

Media sebelum ini melaporkan bayi perempuan berusia 6 bulan dipercayai didera meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping (HT) pada 5 Februari lalu.

Nur Khayra disahkan meninggal dunia 7.30 pagi ketika dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib sebelum ini dilaporkan berkata, bayi berkenaan sebelum itu dihantar ke HT pada 6.30 petang 2 Februari lalu selepas dikatakan pengsan akibat terjatuh buaian di rumahnya di Kampung Paya Baru, Tekah, oleh ibu bapa bayi terbabit yang berusia 21 dan 19 tahun.

Berdasarkan laporan yang dibuat doktor yang merawat mangsa, bayi berkenaan sudah tidak sedar diri ketika dibawa ke hospital dan apabila doktor bertanyakan kepada ibu bapa bayi itu mereka memberitahu bayi terbabit jatuh dari buaian.

Bayi berkenaan dirawat di NICU serta diberi bantuan pernafasan sebelum pemeriksaan rapi serta laporan imbasan tomografi berkomouter (CT Scan) menunjukkan bayi terbabit mengalami pendarahan otak dan mata.

Susulan kejadian itu polis menahan reman bapa mangsa selama enam hari untuk membantu siasatan.

Berita berkaitan:

Jatuh buaian atau didera?

Pekerja kantin direman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 10:33 AM