Nor Raidah Awang


LELAKI yang dipercayai mendera hingga menyebabkan kematian bayi perempuannya berusia enam bulan pada 5 Februari lalu, dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, esok.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata polis sudah melengkapkan siasatan dengan mengambil kira pelbagai aspek berhubung kes itu.

"Lelaki berusia 21 tahun itu yang juga pekerja di sebuah kantin kilang akan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Seksyen akta itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika program Ops Selamat yang diadakan di Jalan Simpang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohamad mengesahkan bayi berkenaan dihantar ke Hospital Taiping pada 6.30 petang 2 Februari lalu, selepas dikatakan pengsan akibat terjatuh buaian di rumahnya di Kampung Paya Baru, Tekah, di sini oleh ibu bapa bayi terbabit yang berusia 21 dan 19 tahun.

Bagaimanapun mangsa meninggal dunia ketika dirawat di wad penjagaan intensif bayi (NICU) hospital itu pada 7.30 pagi 5 Februari, dan hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan kepala akibat trauma tumpul.

Berikutan itu, polis menahan reman bapanya untuk siasatan lanjut dua hari kemudian selepas suspek gagal menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi membantu siasatan kes kematian bayinya itu.

Berita berkaitan:

Jatuh buaian atau didera?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 1:58 PM