Noorazura Abdul Rahman

Sik: Pelajar lain mungkin berkongsi kejayaan keputusan peperiksaan bersama keluarga di rumah, namun lain buat Muhammad Azmi Abdullah @ Yaacob, yang berkongsi dengan ibunya di kebun getah.

Muhammad Azmi, 19, memperoleh 6 Mumtaz, 3 Jayyid Jiddan dan 1 Jayyid dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang diumumkan hari ini.

Kata Muhammad Azmi, dia sudah hampir sebulan membantu ibunya, Homsah Hashim, 65, menoreh getah sebagai persediaan membeli barangan keperluan jika berjaya menyambung pengajian ke universiti.

Pelajar Sekolah Agama Nahdzah, Yan itu berkata, dia gembira kerana ibunya menjadi orang pertama mengetahui dia memperoleh keputusan berkenaan.

"Syukur Alhamdulillah kerana ibu yang banyak mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh selepas kematian bapa lima tahun lalu.

"Saya tiada resepi belajar luar biasa kecuali bangun seawal jam 4 pagi untuk tunaikan solat sunat tahajud, solat taubat dan solat hajat, sebelum mengulangkaji pelajaran sebelum solat subuh," katanya yang tinggal di Kampung Danglau di sini.

Kata anak bongsu daripada 11 beradik ini, dia juga berusaha sebaik mungkin untuk membantu ibunya yang selama ini membesarkan mereka dengan melakukan pelbagai kerja.

Katanya, sementara menunggu keputusan peperiksaan, dia membantu ibunya menoreh getah.

"Selepas lebih dua minggu menoreh, saya memperoleh RM300. Saya simpan wang ini untuk beli barangan keperluan jika berjaya sambung pengajian ke universiti.

"Jika ada rezeki, saya nak sambung pengajian ke Mesir," katanya.

Menurut Muhammad Azmi, ibunya mengajaknya menoreh getah supaya dia dapat hidup berdikari dan merasai pengalaman menjadi penoreh getah.

Katanya, abang dan kakaknya ada yang menjadi guru dan kerana itu, dia bercita-cita menjadi pensyarah bahasa Arab.

Sementara itu, Homsah berkata, dia mengajar Muhammad Azmi supaya dia dapat merasai kepayahannya mencari rezeki.

"Pada 1970-an, saya dan suami mencari rezeki dengan menoreh getah dan mengusahakan sawah sehinggalah pada 1982, kami menjadi peraih getah sebelum mengusahakan kedai runcit pada 1996 sehingga kini.

"Alhamdulillah, hidup saya dan anak-anak baik namun saya tetap mahu Azmi merasa cabaran mencari rezeki di kampung. Setiap pagi, saya dan Muhammad Azmi akan menunggang motosikal kira-kira 10 kilometer dalam keadaan jalan berbukit untuk menoreh," katanya.

Menurut Homsah, dia mahu Muhammad Azmi menghargai dengan setiap perkara yang diperoleh sekarang selain rasa syukur kerana semuanya, termasuk ilmu, adalah milik Allah SWT.

MUHAMMAD Azmi (kanan) menunjukkan keputusan STAM kepada ibunya Homsah ketika mereka berdua menoreh getah di Kampung Danglau. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Azmi (kanan) menunjukkan keputusan STAM kepada ibunya Homsah ketika mereka berdua menoreh getah di Kampung Danglau. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 4:12 PM