RUHAINIES. FOTO Aswadi Alias.
RUHAINIES. FOTO Aswadi Alias.
Syafil Syazwan Jefri

[email protected].

Sebagai manusia, kita tidak perlu sekadar berada di zon selesa. Kadangkala dengan mencabar diri keluar dari kotak akan menjadikan kita lebih baik sekali gus dapat meneroka kemampuan diri sendiri.

Bagi Ruhainies, dia juga akhirnya mencabar dirinya sendiri untuk berlakon dalam filem genre seram.

“Saya manusia yang sangat penakut. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk berlakon dalam filem seram.

Sebelum ini, pernah beberapa kali ditawarkan karakter dalam filem seram, namun saya tolak kerana belum bersedia,” katanya.

Pada penghujung tahun lalu, dia menyahut cabaran itu dengan menerima karakter sebagai Farah dalam filem berjudul Musyrik.

“Musyrik adalah filem seram yang digabungkan dengan nilai keagamaan. Pada mulanya memang timbul perasaan takut lebih-lebih lagi boleh dikatakan keseluruhan jadual penggambaran berlangsung pada waktu malam.

“Saya juga kuatkan semangat untuk berlakon dalam filem ini dan proses penggambaran selama dua minggu itu berjalan lancar,” katanya.

Ditanya pengalaman pertamanya berlakon dalam filem genre terbabit, pelakon berusia 26 tahun itu bersyukur kerana dia tidak mengalami sebarang pengalaman seram.

“Alhamdulillah, sepanjang tempoh penggambaran, saya tidak mengalami sebarang pengalaman aneh atau menyeramkan. Namun, ada beberapa kru yang berdepan pengalaman sebegitu. Bagaimanapun, kebanyakan mereka ada pengetahuan untuk berdepan hal sedemikian.

“Kami juga beruntung kerana ada pelakon seperti Ashraf Muslim yang semua sedia maklum memiliki pengetahuan dalam perubatan Islam, sedikit sebanyak membantu sekiranya perlu,” katanya.

Selain Ruhainies dan Ashraf, Musyrik dijangka tayangan Ogos depan juga membariskan beberapa pelakon hebat antaranya Aeril Zafrel dan Aishah Ilias.

Memandangkan menjadi azam tahun barunya untuk mencabar diri dengan lebih banyak karakter, Ruhainies kini menjalani penggambaran untuk telefilem sempena Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) berjudul Uniknya Cinta.

“Ini satu lagi pengalaman baru buat saya apabila diberikan peluang untuk memegang peranan sebagai seorang gengster.

“Selalunya, saya diberi kepercayaan untuk membawakan karakter lemah lembut dan penuh kewanitaan. Jadi, kali ini, penonton dapat melihat sisi ‘kasar’ saya pula,” katanya.

Menurut Ruhainies, dia ingin menyajikan kepelbagaian dalam lakonannya, sekali gus membuatkan penonton tidak bosan setiap kali dia muncul di kaca TV.

RUHAINIES. FOTO Aswadi Alias.
RUHAINIES. FOTO Aswadi Alias.

“Belum ada yang memberikan reaksi bosan dengan karakter lakonan buat masa sekarang. Jadi, sebelum orang mula bosan, saya sentiasa berfikir untuk memberikan sesuatu yang berbeza.

“Karakter baik dan garang pernah dilakonkan sebelum ini. Jadi selepas selesai dengan filem seram, saya uji kemampuan untuk membawa watak gengster pula,” katanya.

Antara pelakon lain dalam telefilem yang akan ditayangkan pada 3 Februari ini ialah Hazama, Azar Azmi, Zoey Rahman dan Fauziah Nawi.

Ingin miliki kereta sendiri

Selepas dua tahun bekerja, Ruhainies perlahan-lahan cuba merealisasikan impiannya dan antara yang bakal menjadi kenyataan adalah memiliki kereta sendiri.

“Saya sudah lama ada lesen tetapi belum diberi keizinan oleh ibu bapa untuk memiliki dan memandu kereta sendiri.

“Sebelum ini, kalau ke lokasi, saya akan dijemput dan dihantar pembantu peribadi dan ada masanya, ibu yang akan menghantar,” katanya.

Bercerita mengenai kereta, Ruhainies mempunyai pengalaman mengerikan dan menjadi punca kenapa ibu bapanya tidak mengizinkannya memandu sendiri.

“Pernah beberapa kali, ketika ibu atau pembantu tidak dapat menghantar ke lokasi, saya akan memandu sendiri.

“Yang menjadi punca kenapa ibu bapa saya tidak mengizinkan adalah selepas berlaku kejadian ada orang tidak dikenali mengekori dari belakang.

“Sejak itu, ibu bapa menganggap ia boleh menjejaskan keselamatan jika saya memandu sendirian dalam situasi kerja yang tidak menentu ini,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, Ruhainies yang sering disogok dengan persoalan mengenai kisah cintanya, kali ini dikaitkan dengan pelakon baru, Asyraf Aley.

“Dia hanyalah kawan rapat saya dan tidak lebih daripada itu. Saya sentiasa sibuk dengan kerja dan tidak banyak masa untuk berkawan. Jadi, dia menjadi kawan rapat saya,” katanya.

Ditanya sama ada kedua-dua mereka pernah berbincang untuk ke fasa seterusnya, ini jawapan Ruhainies:

“Kami tidak pernah berbincang apa-apa mengenai cinta dan saya sendiri pun tak pernah terfikir sehingga ke tahap itu. Yang pasti, saya selesa dengannya dan kami banyak saling bertukar pendapat.”

Menjadi satu doanya pada 2018, Ruhainies mengharapkan semoga dikurniakan jodoh yang baik kerana usia semakin meningkat naik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 3:53 AM