Ardini Sophia Sina


Gadis cantik yang sering menghiasi televisyen, Vill Sonthichai, 27, sangat dikenali di Thailand. Dia mula menempah populariti selepas membintangi drama Kaew Lom Petch berganding dengan Son Yuke Songpaisarn pada 2008.

Kini Vill melangkah setapak lagi bergelar bintang filem dan lakonan terbarunya dalam Take Me Home bakal ditayangkan di pawagam penghujung bulan ini.

Dalam filem ini, Vill membawa watak Tabtim yang mempunyai saudara kembar, Tan lakonan Mario Maurer.

Kisah bermula apabila Tan sedar daripada koma dan mengalami amnesia.

Dia pulang ke rumah dan bertemu dengan kembarnya. Semakin lama tinggal di situ, dia mula menyedari rumah itu menyimpan banyak rahsia.

Berikut temu bual bersama Vill mengenai pengalaman pertamanya berlakon dalam filem serta masa depan kariernya.

Soalan: Bagaimanakah anda belajar berlakon?

Jawapan: Saya seorang yang optimistik. Apabila diberi karakter yang banyak menangis, ia akan membuatkan saya bingung. Saya tidak tahu cara untuk mengeluarkan air mata dan pada masa sama menunjukkan emosi sedih pada wajah. Namun, saya gembira kerana sepanjang bergelar pelakon, saya bekerjasama dengan pengarah yang membantu saya memahami karakter berkenaan. Berlakon membuatkan saya gembira. Ia membolehkan saya melakukan banyak perkara yang realitinya saya mungkin tidak lakukan.

S: Apakah perasaan anda berlakon dalam filem pertama?

J: Saya sangat gembira dan gementar. Saya berpuas hati dengan lakonan saya menerusi Take Me Home. Pengarah mahu saya berlakon secara bersahaja. Ia meringankan beban saya kerana tidak perlu beraksi secara berlebihan.

S: Bagaimana anda memperbaiki tahap lakonan?

J: Pengalaman banyak mengajar saya memperhalusi teknik lakonan. Saya pernah tertekan dan takut ketika berada di hadapan kamera serta berganding dengan pelakon yang jauh lebih berpengalaman. Tetapi selepas beberapa tahun berlakon, kini saya semakin selesa dan tahu mengendalikan perasaan gementar ketika berada di lokasi penggambaran.

S: Adakah lokasi penggambaran Take Me Home menakutkan?

J: Rumah itu menyeramkan tetapi suasana sangat selesa kerana ramai orang berada di lokasi penggambaran. Saya juga terlebih dulu memberi hormat setiap hari sebelum memulakan penggambaran. Tetapi ada satu babak yang saya harus berada di rumah itu seorang diri. Saya meminta seorang kru menemani saya.

S: Bagaimana perasaan anda ketika kali pertama melihat solekan hantu?

J: Sepanjang proses solekan, saya kadangkala membuka mata melihat hasil ilusi hantu pada wajah saya. Awalnya saya tidak berani untuk ke tandas dan takut melihat cermin. Saya juga bimbang orang lain yang terserempak dengan saya ketika saya berada di tandas akan terkejut dan takut.

S: Adakah anda selesa bekerja dengan Maurer?

J: Saya gembira berganding dengannya. Kami sama-sama pelajar dalam kelas lakonan dan diajar oleh ML Bhandevanov. Ketika berada di lokasi penggambaran, dia akan membawa karakter sebagai Tan sehingga penggambaran selesai. Namun, realitinya Maurer sangat baik dan tidak cerewet. Dia boleh makan apa saja.

S: Adakah sukar membawa dua karakter?

J: Sama sekali tidak. Saya gunakan pengalaman ketika berlakon dalam The End Of Her Rope. Tabtim kadangkala kuat dan ada kalanya sangat lemah. Ia tidaklah terlalu sukar seperti bayangan umum.

S: Apa yang menarik mengenai filem ini?

J: Ia adalah gaya baru dalam garapan cerita seram di Thailand. Jalan cerita itu lebih pada kekeluargaan disuntik elemen misteri dan seram.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:02 AM