Winnie the Pooh: Blood and Honey 2
Winnie the Pooh: Blood and Honey 2
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Versi seram filem Winnie the Pooh: Blood and Honey 2, yang menjadi perbualan hangat netizen selepas menerima kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF), kini sudah diklasifikasikan 18+ kerana mengandungi adegan ganas dan kejam.

Walaupun tiada babak yang dipotong, kelulusan filem ini sekali lagi menjadi topik perbualan ramai.

Pengedar filem terkenal tempatan, Mega Films Distribution mengumumkan untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan filem bergenre seram terbabit berjaya ditayangkan di negara ini.

Jurucakapnya berkata, Winnie the Pooh: Blood and Honey jadi tumpuan sejak tahun lalu serta mendapat tarikh tayangan awal berbanding negara jiran seperti Singapura dan Thailand. 

"Pada masa sama juga sebelum ini peminat filem terbabit turut teruja menanti keputusan LPF sama ada mereka akan dapat menikmati versi asal filem atau terpaksa akur dengan arahan potongan pihak terbabit.

"Mega Films Distribution mengumumkan filem ini akan ditayangkan tanpa sebarang potongan di seluruh negara. 

"Keputusan ini pasti mengujakan penonton yang tidak sabar untuk mengalami pengalaman menonton tanpa tapisan," katanya. 

Menurutnya ia disambut baik peminat filem bergenre seram ini. Tambah lagi, amaran yang diberikan pengedar filem sudah tular di media sosial dan mengujakan peminat.

"Kami mengingatkan agar penonton yang dikategorikan wanita mengandung, individu dengan masalah jantung, yang mudah terganggu, dan sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan menonton filem ini di atas risiko sendiri.

"Ini menandakan babak yang dipaparkan pasti panas dan cukup menggerunkan," katanya.

Terdahulu sejak siri pertama yang ditayangkan tahun lepas, Winnie the Pooh: Blood and Honey,

menjadi topik perbualan hangat akibat pengolahan karakter yang dikatakan merosakkan karakter kegemaran kanak-kanak. 

Selain itu, filem terbabit juga sudah dibatalkan saat-saat akhir di Hong Kong, dikatakan berpunca daripada tekanan politik dan ini menghangatkan lagi topik filem terbabit di atas talian. 

Walaupun menerima sambutan yang

menggalakkan di atas talian, pengedar filem di Malaysia masih teragak-agak untuk menayangkannya di Malaysia.

Filem ini turut memberi penghormatan kepada filem seram klasik seperti, It, Scary Stories to Tell in the Dark, The Texas Chainsaw Massacre, Halloween dan Happy Death Day yang pasti menyemarakkan lagi saspens dalam kalangan peminat filem seram.

Filem ini sudah ditayangkan di Amerika Utara beberapa minggu lepas dan yang paling mengejutkan sekuel ini berjaya menerima rating 100 peratus segar di Rotten Tomatoes! 

Filem ini terus kekal dengan rating 88% segar selepas ditayangkan, dan pengkritik filem memuji olahan yang berjaya memberikan kesan melangkaui jangkaan. 

Ramai yang memberikan pendapat bahawa terdapat banyak penambahbaikan yang berjaya dilakukan berbanding edisi sebelumnya.

Selepas menerima pengumuman mengenai tayangan awal di Malaysia, peminat dan netizen cukup kreatif dengan menghasilkan pelbagai parodi berdasarkan watak terbabit. 

Winnie the Pooh: Blood and Honey 2 mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 10 April lalu.  

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 6:02 PM