CHELSEA dan Pevita. FOTO Aziah Azmee
CHELSEA dan Pevita. FOTO Aziah Azmee
Amirul Haswendy Ashari

Langkah pertama memang sukar tetapi sebaik saja melakukannya, siapa sangka banyak pengalaman mula ditimba.

Itu hakikat dilalui dua pelakon jelita Indonesia Chelsea Islan, 23, dan Pevita Pearce, 25.

Mereka beraksi dalam filem seram terbaru berjudul Sebelum Iblis Menjemput yang akan menghantui pawagam tempatan bermula hari ini.

Bertemu mereka untuk sesi fotografi khas bersama RAP baru-baru ini, Chelsea dan Pevita menjelaskan filem itu adalah filem seram pertama mereka.

“Selalunya kami lebih banyak terbabit dalam genre drama atau romantik komedi dan dalam genre seram ini, kami belajar mengenai mimik wajah, ekspresi dan emosi yang lebih mendalam.

“Tidak dinafikan ia sangat mencabar kerana kami juga menjalani pelbagai latihan termasuk diikat pada tali dan diangkat tinggi untuk babak dirasuk,” kata mereka.

Bagaimanapun, mereka mulai tenang selepas beberapa hari berada di lokasi penggambaran kerana sudah selesa dengan cara kerja pengarah, Timo Tjahjanto yang disifatkan tegas dan serius.

Chelsea yang memegang watak Alfie berkata, filem ini dianggap sebagai pencetus dalam karier lakonannya.

Katanya, dia belum pernah mendapat watak sebegini dan disebabkan watak Alfie itu juga, dia hampir hilang kewarasan diri.

“Saya agak tertekan beberapa hari sebelum memasuki set penggambaran. Disebabkan tekanan itu juga, karakter Alfie seolah-olah meresap masuk ke dalam diri saya.

“Saya tak sedar dengan situasi itu, hanya keluarga saja yang sedar dan menegur perubahan diri. Kata mereka, saya bukan diri sendiri ketika bersama mereka,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon yang turut dikenali melalui filem Ayat Ayat Cinta 2 itu akhirnya kembali kepada diri sendiri selepas tamat penggambaran filem berkenaan April lalu.

Selama penggambaran berlangsung, dia mengakui agak penat pada babak-babak akhir kerana terpaksa melakonkan banyak aksi antaranya berkejaran dalam hujan selain bergelumang dalam lumpur.

Katanya, dia pernah sampai tahap penat untuk meneroka perwatakan dibawanya kerana menjalani penggambaran sehingga lewat pagi.

“Sampai ke hari terakhir pun, kami ‘ditekan’ dan saya hampir putus asa kerana terlalu penat. Bagaimanapun, saya menyifatkan ia penat yang berbaloi terutama selepas melihat sambutan menggalakkan daripada peminat filem,” katanya.

Pevita malu tapi mahu

Pevita pula tidak sabar untuk melakukan sekali lagi jika diberi peluang berlakon dalam filem genre seram.

Dia yang membawa watak Mira sudah menjangka akan melalui pelbagai cabaran lasak ketika kali pertama membaca skrip filem itu.

“Ada banyak perkara menarik yang tidak dapat dilupakan sepanjang latihan penggambaran antaranya ketika latihan suara di depan kru. Pada mulanya saya malu, tapi lama-kelamaan sudah putus ‘urat malu’ kerana dilakukan berulang-ulang.

“Kami mahu melakukan yang terbaik tetapi malu apabila disuruh menjerit, lama-lama malu tapi mahu,” katanya berseloroh.

Ada beranggapan lakonan mereka mampu meraih anugerah pelakon wanita terbaik dalam mana-mana anugerah filem di negara sendiri.

Ditanya mengenai tanggapan itu, Pevita cepat-cepat menafikan tujuannya memberi lakonan terbaik untuk mencapai anugerah.

CHELSEA dan Pevita. FOTO Aziah Azmee
CHELSEA dan Pevita. FOTO Aziah Azmee

Katanya, anugerah bukan sasaran mereka sebaliknya untuk menikmati sebuah karya dan jika ada anugerah diterima, ia sekadar bonus buat mereka.

Dia juga menolak untuk meletak sasaran berlakon untuk karya luar negara kerana mahu fokus pada bidang lakonan di Indonesia yang disifatkan sudah pun setanding karya antarabangsa lain.

Selain memasuki pawagam Malaysia, Sebelum Iblis Menjemput turut diundang sempena L’Etrange Festival Paris 2018 selain bersaing dalam nominasi Public Choice Award pada 5 hingga 16 September lalu.

Filem ini juga dipilih untuk tayangan rasmi di Austin, Texas sempena Fantastic Fest 2018 yang berlangsung dari 20 hingga 27 September ini dan juga di BFI London Film Festival pada Oktober depan.

Chelsea aktif perkasakan budaya

Biarpun berdarah kacukan Indonesia-Amerika dan dilahirkan di Amerika Syarikat, Chelsea memiliki semangat kuat untuk memperkasakan jati diri bangsa Indonesia dalam kalangan belia di negaranya.

Dia yang juga Presiden Youth Indonesia sejak 2016 berkata, komuniti ini adalah wadah golongan belia terutama anak muda sepertinya bangkit serta fokus kepada perkembangan generasi akan datang.

“Tujuannya untuk mengingatkan anak muda mengenai budaya dan sejarah Indonesia yang kini semakin dilupakan kebanyakan anak muda kerana kemajuan teknologi.

“Harapan saya dapat sokongan lebih banyak daripada kerajaan untuk program kami akan datang,” katanya.

Setakat ini program anjuran komuniti itu aktif bergerak sekitar Jakarta saja. Dia akui sejak programnya tular di laman sosial sebelum ini, ia mula mendapat perhatian beberapa kota lain seluruh Indonesia yang berminat untuk membawanya ke tempat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 9:34 AM