NING Baizura. FOTO Mahzir Mat Isa
NING Baizura. FOTO Mahzir Mat Isa
Georgie Joseph

Mengintai 25 tahun pembabitannya dalam industri hiburan, penyanyi Ning Baizura tidak ada perancangan mahu memperlahankan karier seni meskipun kebelakangan ini kelibatnya mungkin jarang kelihatan di media massa.

Penyanyi berusia 42 tahun ini mempunyai perancangan yang cukup padat untuk 2018 demi meneruskan kerjaya pada tahap lebih tinggi. Bahkan dia melihat sekarang masa tepat untuk bekerja keras dalam bidang seni.

Menurut penyanyi Awan Yang Terpilu ini, kehidupannya sudah serba lengkap sekarang dan apa lagi yang hendak dilakukannya selain mengukuhkan kerjaya serta namanya?

“Saya melihat penyanyi lain seperti Yuna semakin ligat mengejar impian dan merancang lakukan perkara sama. Lagipun, saya kini sudah berkeluarga dan rumah tangga pun terurus dengan baik.

“Jadi sudah tiba masanya untuk fokus kepada perancangan karier yang lebih jauh. Kalau boleh tahun ini saya mahu memberikan sepenuh hati disebabkan banyak aktiviti seni ingin dilaksanakan,” katanya.

Satu daripadanya yang begitu mengujakan Ning tentu sekali konsert ulang tahun ke-25 pada tahun ini. Ning mengakui dia sudah tidak sabar kembali beraksi dalam konsert besar itu.

Bagaimanapun, dia masih berahsia mengenai perinciannya disebabkan pengumuman konsert itu akan dibuat secara berperingkat.

“Sidang media pengumuman konsert itu akan dibuat dalam masa terdekat. Segalanya berjalan lancar setakat ini dan saya bersyukur tiada masalah daripada segi penajaan.

“Yang pasti menjelang konsert itu ada beberapa aktiviti promosi akan turut dibuat. Bukan setakat showcase atau siri jelajah namun saya dan pengurusan mahu memanfaatkan media sosial pula kali ini.

“Jadi kepada semua peminat, mulakanlah untuk menghafal semula lagu lama mahupun baru saya. Saya akan menyanyikan himpunan lagu yang memang mesra di telinga semua,” katanya.

Dalam pada itu, Ning juga mengintai peluang untuk melebarkan sayap ke negara jiran iaitu Filipina tahun ini. Menurutnya, dia melihat pasaran di sana mesra terutama sekali untuk lagu Inggeris dan dia mahu mencuba nasib.

Bukan bercakap kosong tetapi sebuah lagu barunya berjudul Greatest Gift of Love sudah dilancarkan di sana. Dia berharap akan dapat melawat negara itu dalam masa terdekat.

“Saya melihat peluang itu sebagai platform untuk membina nama di sana pula selepas ini. Lagu berkenaan dijadikan runut bunyi untuk sebuah filem di sana dan tentunya ia satu permulaan yang baik.

“Baru-baru ini, saya juga berjumpa dengan wakil dari sana dan membincangkan aturan seni di situ. Saya harap ia bakal membuka jalan untuk meraih peminat di sana pula,” katanya.

Tidak pilih bulu

Meskipun Ning cukup menguasai pasaran ‘urban’ di sini dan sudah berada di kelas tersendiri, dia mengakui tidak pernah membataskan kemunculan dalam apa juga acara ataupun program.

Penyanyi berkenaan tidak pernah menetapkan hanya perlu menerima tawaran yang berprofil tinggi dan memilih pendengar. Pada masa sama, dia masih utamakan peminatnya dari kawasan luar bandar.

“Orang mungkin melihat Ning berada pada tahap tertentu dan beranggapan saya terlalu selektif. Namun, sebenarnya tidak sama sekali kerana saya sangat terbuka dengan apa juga jenis program termasuk untuk peminat kebanyakan.

“Saya sangat gembira apabila dijemput ke program Sepahtu Reunion tahun lalu yang sebenarnya membuka mata banyak pihak. Barulah mereka melihat sisi lain saya yang sebenar meskipun ketika itu didandan menjadi orang tua.

“Impak daripada pembabitan itu saja, saya mendapat lebih 2,000 pengikut di Instagram sekali gus membuktikan ramai masih menerima saya. Jika diberikan peluang muncul program sebegitu lagi, saya berbesar hati menerimanya,” katanya.

Pernah menguar-uarkan bakal tampil dengan bingkisan album baru tidak lama dulu, Ning mengakui prosesnya masih di peringkat awal.

“Untuk album itu, baru dua lagu sudah siap buat masa sekarang. Saya memang berhasrat menyiapkannya secepat mungkin namun pada masa sama kena benar-benar menitikberatkan material yang berkualiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 4:12 AM