NING Baizura.
NING Baizura.
myMetro

Lebih dua dekad berkecimpung dalam bidang muzik, penyanyi bersuara soprano Ning Baizura, 41, sudah memiliki nama yang kukuh dan mengecapi segala kemanisan sebagai anak seni.

Kehidupan Ning dan suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton juga tambah bahagia dengan kehadiran cahaya mata, Ryan Sky Dalton yang kini berusia tiga tahun.

“Bagi saya, glamor dan populariti sudah berlalu kerana fokus saya sekarang untuk mengukuhkan lagi perniagaan diceburi dan rumah tangga.

“Saya juga sibuk membantu suami menguruskan syarikat dan menganjurkan pelbagai acara dan seminar membabitkan pelbagai agensi kerajaan ketika ini,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Awan Yang Terpilu ini berkata, dia juga ingin menubuhkan sekolah vokal dan muzik untuk mendidik penyanyi pelapis dalam industri muzik tanah air.

“Saya mahu mengikut jejak Syafinaz menjadi guru vokal dan mendidik generasi muda mengenai teknik nyanyian yang betul.

“Selain banyak memberi ceramah dan motivasi, saya suka bersenam dan terbabit aktiviti yang mengeluarkan peluh sekarang. Sebab itu, saya sukar menolak tawaran untuk menjadi jurucakap SweatSpa pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelantikannya sebagai jurucakap SweatSpa di ibu kota, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengasas SweatSpa Sabrina Tang.

Sebagai selebriti terkenal, Ning juga tidak terlepas diajukan soal menambah anak dan katanya, dia dan suami mengharapkan dikurniakan cahaya mata kedua nanti.

“Kalau boleh saya inginkan anak kedua nanti juga lelaki. Maklumlah, suami sudah memiliki dua anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu dan mereka kini menetap di Ireland,” katanya .

Dalam perkembangan lain, kata Ning, pengikut Ryan di laman Instagram juga sudah mencecah 5,000 orang.

“Bukan untuk bersaing dengan anak selebriti lain seperti Lara Alana sebaliknya tidak salah untuk saya berkongsi perkembangan Ryan dengan peminat. Sebagai artis, saya turut berkongsi perkembangan aktiviti seni di laman sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook.

“Peminat juga dapat mengikuti perkembangan dan aktiviti Ryan yang suka menyanyi di rumah. Selain itu, Ryan juga dapat tawaran sebagai model kanak-kanak, tetapi kami juga perlu memilih produk yang sesuai dengannya,” katanya.

Impi konsert skala besar

Semua penyanyi yang ada nama impi untuk mengadakan konsert solo, sekali gus penghargaan buat peminat setia.

Justeru, Ning juga merancang untuk mengadakan konsert berskala besar sempena 25 tahun pembabitannya dalam industri muzik tanah air dalam tempoh dua tahun lagi.

“Semuanya masih dalam perancangan kerana saya masih mencari penaja untuk merealisaikan konsert ini. Ia bukan sesuatu yang mudah dalam keadaan sekarang.

“Saya berharap dapat mengadakan konsert di stadium seperti Konsert Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Negara, baru-baru ini,” katanya.

Selain konsert, Ning masih mencari material sesuai untuk pembikinan single terbarunya.

“Saya menaruh harapan dapat muncul dengan single baru pada tahun ini,” katanya.

Antara konsert yang pernah dijayakannya

ialah Konsert Diva ­Malaysia Live, Queen Of The City bergabung dengan Ziana Zain dan Noryn Aziz serta Konsert solo Pelangi Untukmu di TM Convention Centre, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 10:53 AM