KERATAN laporan portan berita Harian Metro, semalam. FAIL Harian Metro
KERATAN laporan portan berita Harian Metro, semalam. FAIL Harian Metro
Safuri Kamarudin


WANITA yang menemui bayi lelaki baru lahir di satu rumah di Kampung Bendang Sera, Baling, semalam, mengaku bayi itu adalah anaknya.

Ketua Polis Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf, berkata, rahsia wanita berusia 26 tahun itu terbongkar selepas mengaku ketika disoal siasat.

Menurutnya, wanita terbabit memberitahu bayi itu hasil hubungan terlarang dengan lelaki dikenalinya, pada Februari lalu.

“Dia menyembunyikan kelahiran itu daripada pengetahuan orang tuanya kerana takut dimarahi.

“Malah, dia juga berpura-pura menemui bayi itu. Malah, turut mengajak kedua-dua orang tuanya membawa bayi itu ke hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shariffuddin berkata, polis juga mengambil cadar yang masih ada kesan darah sebagai bukti selepas wanita itu menunjukkan tempat dia meletakkan bayi itu.

“Wanita terbabit adalah ibu tunggal. Ada dua anak berusia tiga dan lima tahun yang tinggal bersama orang tuanya.

“Kita sudah mengambil contoh darah bayi dan wanita terbabit untuk ujian DNA.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya.

Beliau berkata, wanita terbabit dilepaskan dengan jaminan polis dan terpaksa dirawat di wad Hospital Baling kerana bimbang berlaku pendarahan selepas bersalin.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling akan mendapat Perintah Hak Perjagaan Sementara mengikut Seksyen 25( 2) ( A) Akta Kanak Kanak 2001 pindaan 2016 dari Mahkamah Sesyen Baling.

Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata bayi lelaki itu akan dijaga 30 hari selepas urusan perubatan oleh Hospital Baling.

Beliau berkata, bayi ini akan ditempatkan ke Rumah Kanak Kanak Taman Bakti Kepala Batas bagi memberi perlindungan sewajarnya.

Portal berita Harian Metro, semalam, melaporkan bayi lelaki berusia sehari ditemui dalam bungkusan plastik hitam dekat rumah penduduk di Kampung Bendang Sera, Baling.

Berita berkaitan

Dah makin kerap kes buang bayi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 10:16 PM