Safuri Kamarudin


POLIS sedang mengesan ibu kepada bayi lelaki yang ditemui dalam tandas stesen minyak di Baling semalam.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, pihaknya sedang mengenal pasti wanita terbabit yang melarikan diri selepas menyerahkan bayinya kepada pekerja stesen minyak.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan (KK).

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, JKM Baling akan mendapat Perintah Hak Penjagaan Sementara mengikut Seksyen 25( 2) ( A) Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2016 dari Mahkamah Seksyen Baling .

Beliau berkata, bayi itu akan ditempatkan di Rumah Kanak Kanak Taman Bakti Kepala Batas bagi memberikan perlindungan sewajarnya sementara menunggu laporan lengkap pegawai pelindung.

Portal Berita Harian Metro semalam melaporkan bayi lelaki baru lahir ditemui dalam tandas stesen pam minyak di Baling yang cuba dibuang ibunya.

Bagaimanapun, bayi itu diselamatkan selepas pekerja stesen minyak itu memujuk wanita itu supaya menyerahkan bayi kepadanya.

Kejadian itu bermula selepas pelanggan stesen mengadu satu daripada tandas digunakan terlalu lama pada 2.15 petang semalam.

Berita berkaitan

Drama ibu cuba buang bayi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 12:44 PM