Safuri Kamarudin


Baling: "Dalam tempoh seminggu, ini kejadian kali ketiga rumah terletak berhampiran Sungai Ketil dinaiki air menyebabkan kami terpaksa berpindah," kata Saadiah Yusuf.

Saadiah, 67, yang menetap di Kampung Bendang Sera berkata, selain limpahan air sungai, air dari arah bukit berdekatan menyebabkan penduduk tidak mampu berbuat apa-apa kecuali berserah sahaja.

Katanya, dia mula berasa tidak sedap hati apabila hujan lebat berterusan bermula 6 petang semalam dan tidak berhenti sehingga ke malam.

"Akibatnya, rumah saya mula dinaiki air pada 10 malam sehingga paras 0.5 meter dan kami bernasib baik kerana kebanyakan perkakas dan perabot sudah dipindahkan lebih awal ke tempat tinggi serta selamat.

"Ketika kejadian banjir pertama minggu lalu, saya tidak sempat memindahkan barang menyebabkan banyak perkakas terutama peralatan elektrik rosak terkena air," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir, Zulkiflee Abu Bakar, 54, berkata rumahnya di Kampung Batu Tujuh dipenuhi air bercampur selut menyebabkan dia terpaksa membersihkannya segera bagi mengelakkan berbau busuk.

"Bayangkan dalam tempoh seminggu rumah dinaiki air tiga kali, setiap kali banjir saya terpaksa mencuci air selut.

Saadiah membersih rumahnya selepas dilanda banjir malam tadi di Kampung Bendang Sera, Baling. FOTO SAFURI KAMARUDIN
Saadiah membersih rumahnya selepas dilanda banjir malam tadi di Kampung Bendang Sera, Baling. FOTO SAFURI KAMARUDIN

"Setakat ini sudah tiga kali kami mencuci rumah, penat mencuci sebelum ini belum habis terpaksa sambung mencuci lagi pagi ini.

"Banjir kali ini dianggap paling buruk berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, saya harap pihak berkuasa dapat membantu memperbaiki sistem saliran di kampung bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Setakat 12 tengah hari ini, 15 mangsa membabitkan lima keluarga ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Siong dan SK Tunku Putera.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, tujuh mangsa dipindahkan ke PPS SK Siong yang dibuka pada 2.30 pagi, manakala lapan mangsa dipindahkan ke PPS SK Tunku Putera yang dibuka pada 5.30 pagi.

Katanya, antara kawasan terjejas adalah Kampung Siput, Bukit Sebelah, Rambong Batu, Padang Cicar, Kaki Bukit, Teluk Sanau, Bendang Sera, Lubuk Pedati, Banggol Derom, Guar Tinggi, Carok Sikin dan Tanjung Merbau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 3:04 PM