Shahrul Nizam Mohamad


AHLI perniagaan cedera di leher selepas ditembak sekumpulan penyamun di rumahnya di Jaya Gading, Kuantan, kira-kira 6 pagi, hari ini.

Menurut sumber-sumber polis, ketika kejadian mangsa lelaki, 40, dikatakan terserempak dengan tiga lelaki dalam rumahnya.

Katanya, seorang daripada tiga penyamun terbabit melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Akibat tembakan itu mangsa cedera di leher dan rebah. Tiga penyamun itu kemudian melarikan diri menaiki Perodua Axia.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) oleh ahli keluarganya dan kini dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi di Kuantan.

Difahamkan, ketika kejadian kumpulan penyamun terbabit memecah masuk rumah mangsa melalui pintu depan dengan mengumpil pagar besi.

Bagaimanapun, seorang daripada kumpulan itu tercicir dompetnya dan polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan lelaki itu.

Katanya, kes disiasat mengikuti Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Sementara itu, Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 12:40 PM