ANGGOTA bomba melakukan kerja menyelamat mangsa kemalangan di KM 64 Lebuhraya Timur Barat, hari ini. FOTO Ihsan JBPM Perak.
ANGGOTA bomba melakukan kerja menyelamat mangsa kemalangan di KM 64 Lebuhraya Timur Barat, hari ini. FOTO Ihsan JBPM Perak.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Tiga individu maut, dua lagi cedera dalam nahas membabitkan dua kereta di Kilometer 64 Lebuhraya Timur Barat berdekatan hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang maut adalah lelaki berusia 29 tahun dan penumpang wanita berusia 24 tahun yang menaiki Perodua Myvi, manakala seorang lagi wanita belum dikenal pasti yang juga penumpang Perodua Axia.

Katanya dua mangsa cedera menaiki Perodua Axia iaitu wanita 30 tahun dan kanak-kanak setahun.

"Anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gerik tiba di lokasi sejurus menerima panggilan kejadian itu pada 3.49 petang.

"Kerja menyelamat menggunakan pemotong hidraulik, 'spreader', ram hidraulik serta alatan lain unguk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mangsa cedera yang berjaya dibawa keluar kemudian dihantar ke Hospital Gerik dengan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan, manakala mangsa maut diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut JBPM Perak, difahamkan kanak-kanak yang cedera adalah anak kepada penumpang Perodua Axia yang meninggal dunia.

Kenyataan itu memaklumkan operasi berakhir pada 6.35 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 9:35 PM